Isnin, 11 Disember 2023 | 11:42pm
Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Rombakan Kabinet: Lima muka baharu, enam perubahan portfolio

KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet esok dijangka menampilkan lima muka baharu dan enam perubahan portfolio.

Difahamkan, perubahan utama antara lain membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, pengwujudan semula Kementerian Wilayah dan pemisahan sekurang-kurangnya dua kementerian.

Berikut antara yang diketahui setakat ini:

MUKA BAHARU

Sumber menyebut jawatan Menteri Kewangan II berkemungkinan besar disandang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Beliau menyertai KWSP pada Mac 2021.

Amir Hamzah adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden PETRONAS, Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

Seorang lagi nama yang disebut-sebut bakal kembali ke Kabinet ialah Gobind Singh Deo, yang pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Anak mendiang Karpal Singh itu difahamkan kembali ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dipisahkan.

Satu lagi nama yang dikhabarkan kembali ke Putrajaya ialah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkemungkinan besar sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha Mustafa.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim pula dijangka akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan V Sivakumar.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, turut dijangka menyertai Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, dikatakan akan berpindah mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

PERUBAHAN PORTFOLIO

Dr Zaliha difahamkan akan berpindah dari Kementerian Kesihatan ke Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebelum ini, kementerian berkenaan dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan.

Datuk Seri Fadillah Yusof.
Datuk Seri Fadillah Yusof.

DATUK SERI FADILLAH YUSOF

Fadillah yang ketika ini adalah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, dijangka menerajui jawatan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Menurut sumber, kementerian berkenaan yang kini diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad, akan dipecah dua.

Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan.

DATUK SERI MOHAMAD HASAN

Mohamad yang kini menjadi Menteri Pertahanan, dijangka berpindah kementerian sebagai Menteri Luar yang kini disandang Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

DATUK SERI ZAMBRY ABD KADIR

Difahamkan, Zambry akan menerajui Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau pernah menjadi Menteri Besar Perak dari 2009 hingga 2018.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN

Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga Naib Presiden UMNO itu, disebut-sebut bakal berpindah daripada Kementerian Pengajian Tinggi ke Kementerian Pertahanan. Beliau pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 hingga 2013.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

FAHMI FADZIL

Kementerian Komunikasi dan Digital yang ketika ini diterajui Fahmi, dijangka dipisahkan. Fahmi dijangka menerajui kementerian bertumpu kepada aspek digital manakala Gobind berkemungkinan bertanggungjawab terhadap portfolio komunikasi.

Berita Harian X