Isnin, 11 Disember 2023 | 10:59pm

PAS beri amaran, sokong Anwar dipecat secara automatik

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat PAS diberi amaran akan dipecat jika mereka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, mengingatkan wakil rakyat parti berkenaan agar tidak melupakan bai'ah atau janji setia kepada PAS ketika mahu menjadi wakil rakyat.

"Sudah tentu akan dipecat daripada parti. Dia tak dikira mewakili PAS dalam Parlimen...tetapi kalau dia buat (sokong Anwar), dia secara automatik akan terpecat.

"Kepada ahli (yang) berhormat, kita sudah berikrar dan bai'ah atas nama Allah, maka kita bukan saja bertanggungjawab dengan presiden, dengan jawatankuasa pusat sahaja. Kita bertanggungjawab dengan Allah.

"Kita akan berhadapan dengan Allah untuk dibicarakan atas apa tindakan yang kita buat. Bicara di hadapan Allah. Dahsyatlah sebab Allah tahu apa niat kita, waktu kita lakukan itu," katanya dipetik FMT.

Peringatan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal siang tadi yang mendakwa, tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari beberapa negeri akan memberi sokongan kepada Anwar dalam masa terdekat.

Dalam sidang media pagi tadi, Syed Abu Hussin bagaimanapun tidak menyatakan Ahli Parlimen berkenaan sama ada daripada PAS atau BERSATU.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata dakwaan Syed Abu Hussin itu bertujuan menarik perhatian pihak kerajaan sahaja.

"Beliau sendiri sudah tidak ada nilai. Tidak berbaloi membuat pengisytiharan sokong Anwar dalam Dewan Rakyat," katanya.

Berita Harian X