Isnin, 11 Disember 2023 | 3:32pm
Petunjuk yang diperoleh pihak polis setakat ini menjurus kepada seorang individu yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan pada 6 Disember lalu. Gambar kecil Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. - Foto NSTP
Petunjuk yang diperoleh pihak polis setakat ini menjurus kepada seorang individu yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan pada 6 Disember lalu. Gambar kecil Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. - Foto NSTP

Seorang terbabit dalam kes Zayn Rayyan

KLANG: Polis memperoleh petunjuk siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada 6 Disember lalu menjurus kepada seorang suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan bagaimanapun berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut bagi memperoleh fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.

"Dengan kesan itu (pada leher dan badan mangsa), kita percaya seorang individu (terbabit) kita tengok semua sudut, semua 'database' polis..dan juga 'mass screening'.

"Kita harap kita boleh dapat petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini, buat masa ini petunjuk yang ada menjurus kepada seorang individu.

"Banyak persoalan yang perlu dijawab, cuma kita perlu fakta yang boleh menjawab soalan itu..jadi kita sama-sama berdoa agar kita boleh tangkap penjenayah itu.

"Kita (polis) tidak mahu bekerja dalam spekulasi, jadi beri ruang untuk polis bekerja dengan fakta," katanya diminta mengulas perkembangan siasatan kematian kanak-kanak itu.

Beliau ditemui pemberita di perkarangan Istana Alam Shah di sini selepas Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke 78 di sini, hari ini.

Hussein berkata, proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut katanya, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dipercayai dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

"Pada pagi hari yang sama, polis ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi (kita buat pencarian lagi) kita jumpa mayat mangsa pada malam hari..jadi kemungkinan (mayat mangsa dibuang) petang sewaktu hujan lebat..kita percaya pada petang itu.

"Kita tidak jumpa lagi barang yang boleh menjurus kepada penjenayah, kita masih berusaha untuk mencarinya," katanya.

Dalam pada itu katanya, siasatan polis juga tertumpu kepada stor yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa bagi mengenalpasti individu yang kerap berada di lokasi berkenaan.

"Kita hendak melihat ataupun menyiasat siapa yang selalu berlegar di situ, stor ini untuk penyimpanan barang-barang lusuh dan juga barang-barang kitar semula...jadi adakah kemungkinan penjenayah ada pernah ke situ, kita (mahu) lihat (padanan) cap jari di situ.

"Sebab itu saya kata siasatan ini terbuka dan kita melihat dari pelbagai sudut, sama ada daripada dalam kawasan atau luar kawasan itu. Kita tidak mahu terlepas mana-mana sudut dalam siasatan ini. Stor berkunci dan ada penjaga," katanya.

Mengulas mengenai Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk yang diterima beliau hari ini katanya, penganugerahan Sultan Sharafuddin itu adalah penghargaan kepada seluruh warga Polis Kontingen Selangor serta Polis Diraja Malaysia.

Berita Harian X