Isnin, 11 Disember 2023 | 3:02pm
Foto AFP
Foto AFP

Resolusi 377 (A) UNGA perlu diaktifkan bagi hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memainkan peranan penting dalam mengaktifkan resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 377 (A) di kalangan negara anggota pertubuhan itu dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza ketika ini.

Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin, berkata resolusi itu amat penting bagi menuntut masyarakat antarabangsa supaya bertindak segera dan tegas dalam menghentikan kezaliman terhadap penduduk Palestin.

Katanya, Resolusi 377 (A), lazimnya dirujuk sebagai resolusi 'Bersatu untuk Keamanan' memainkan peranan penting dalam situasi di mana Majlis Keselamatan PBB, disebabkan kekurangan permuafakatan kalangan lima ahli tetapnya, membabitkan Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Russia atau China, menjadi goyah dalam tanggungjawab asasnya untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global.

"Kekurangan permuafakatan antara lima ahli tetap PBB itu menjadikan menjadikan situasi di Palestin makin kritikal berikutan pertubuhan itu dilihat gagal dalam tanggungjawab asasnya untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global.

"Resolusi kritikal ini memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung PBB untuk menangani krisis sedemikian dengan pantas dan mencadangkan resolusi untuk tindakan kolektif, termasuk kemungkinan campur tangan bersenjata, untuk memulihkan dan menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Di tengah-tengah kebuntuan Majlis Keselamatan PBB disebabkan penggunaan kuasa veto baru-baru ini oleh Amerika Syarikat, keperluan amat mendesak untuk memohon

Resolusi 377 (A) bagi menangani krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza, tidak boleh dipertikaikan dan Malaysia seharusnya tampil memainkan peranan penting bagi mengaktifkan resolusi itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya dalam menolak resolusi untuk gencatan senjata di Palestin tatkala angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang.

Cadangan Majlis Keselamatan PBB itu di tolak bulat-bulat oleh Amerika Syarikat

Dalam pada itu, Azril berkata, keadaan kritikal di Palestin memerlukan langkah segera dan tegas oleh semua pihak bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan melindungi nyawa rakyat Gaza yang tidak bersalah terhadap kekejaman rejim Zionis.

Berita Harian X