Isnin, 11 Disember 2023 | 2:57pm
Parwez Ahmad Nesan Ahmad menggunting rambut pelanggannya di kedai miliknya yang hanya beberapa kaki daripada penghadang projek Jambatan Manjalaraja di Medan Putra, Seberang Jalan Putra menyebabkan dia mengalami kerugian akibat kekurangan pelanggan - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Parwez Ahmad Nesan Ahmad menggunting rambut pelanggannya di kedai miliknya yang hanya beberapa kaki daripada penghadang projek Jambatan Manjalaraja di Medan Putra, Seberang Jalan Putra menyebabkan dia mengalami kerugian akibat kekurangan pelanggan - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Peniaga rugi kedai dihalang penghadang projek jambatan

ALOR SETAR: Lebih 30 peniaga di Medan Putra, Seberang Jalan Putra dekat sini kecewa selain tertekan apabila terpaksa menanggung kerugian apabila deretan kedai mereka dihalang penghadang tapak projek pembinaan semula Jambatan Manjalara.

Keadaan mereka bertambah teruk sejak lapan bulan lalu sehingga ada peniaga yang didakwa sudah gulung tikar kerana tiada pelanggan berkunjung ke situ.

Pengerusi Peniaga-Peniaga Medan Putra, Parwez Ahmad Nesan Ahmad berkata, mereka masih belum diberi penjelasan berkaitan jalan penyelesaian yang mahu dilaksanakan pihak berwajib sedangkan pendapatan masing-masing terjejas hampir 90 peratus.

Katanya, sebahagian daripada premis di kawasan situ bagaikan 'mati' sepenuhnya terutamanya di kedai berhadapan jalan utama yang kini sedang melalui proses pengubahsuaian serta pembinaan.

"Penghadang projek itu diletakkan betul-betul di hadapan kedai, jadi siapa yang nak datang ke premis kami?

"Kalau pelanggan nak datang ke kedai pun, mereka perlu melalui jalan yang cukup sempit dan tidak selesa.

"Disebabkan masalah itu, perniagaan di sini terus terjejas hinggakan ada di kalangan peniaga di sini ada yang sudah gulung tikar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Parwez berkata, pihaknya dimaklumkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempunyai perancangan untuk memindahkan kesemua 36 peniaga ke lokasi lain bagi mengatasi masalah itu.

Namun katanya, pada awalnya, mereka memaklumkan hanya 18 peniaga akan dipindahkan ke lokasi berhampiran.

"Alhamdulillah, bangunan baharu untuk menempatkan 18 peniaga ini sudah siap tetapi mereka masih menunggu bila boleh berpindah.

"Selain itu kami tertanya-tanya juga, di mana baki 18 lagi peniaga lain hendak ditempatkan? Sedangkan apabila kami melihat dalam 'blueprint' projek pembinaan di sini, kedai kami sudah tidak lagi wujud pada masa depan," katanya.

Peniaga kedai runcit, Suhaimi Mat Saad, 56, mengakui perniagaannya terjejas hinggakan ada hari tidak ada pendapatan langsung.

Katanya, dahulunya, deretan kedai itu menghadap jalan utama dan hasil jualannya mampu mencecah sehingga RM300 atau RM400 sehari.

"Tetapi sekarang apabila kedai kami 'ditutup' dengan penghadang projek, saya selalu pulang dengan tangan kosong.

"Dulu saya buka kedai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam tetapi sekarang saya biasanya buka sampai 6 petang saja tetapi itu pun ada kalanya langsung tiada pelanggan dan saya kini hanya mengharap bantuan anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup kami," katanya.

Tukang jahit, Zainun Sofia Azizan, 37, berkata, dia lebih tertekan apabila sengkuap (awning) kedainya dan rakan-rakan peniaga lain diarahkan supaya ditanggalkan dua minggu lalu.

"Keadaan itu menyebabkan berlaku tempias ketika hujan dan merosakkan mesin jahit serta rak benang.

Sudahlah perniagaan terjejas teruk, rugi pula akibat peralatan rosak.

"Keadaan itu menyebabkan saya cukup tertekan malah sekarang ini kalau nak harapkan pelanggan-pelanggan baharu memang tak adalah dan saya hanya bergantung kepada pelanggan tetap yang selalu datang ke sini," katanya.

Berita Harian X