Isnin, 11 Disember 2023 | 2:51pm
(Gambar fail) Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara diperluas ke seluruh negara

PUTRAJAYA: Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara akan dibawa ke seluruh negara untuk mendapatkan pelbagai pandangan daripada pihak berkepentingan sektor pendidikan, dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri diskusi terbabit yang bermula di sini, hari ini, beliau berkata, ia merupakan pengubah keadaan dalam mendapatkan pandangan bagi mengenal pasti pencapaian, peluang dan penambahbaikan sektor pendidikan negara.

Diskusi hari ini yang dihadiri 25 individu berkepentingan seperti pakar pendidikan, ahli akademik, pemain industri dan golongan profesional, membincangkan perkara berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang diumumkan pada 5 Disember lalu.

"Ia tidak akan berakhir di sini saja. Diskusi ini akan diperluaskan dengan diskusi yang lebih mendalam dan terperinci selepas ini. Apa yang diangkat hari ini akan dibincangkan dalam perbincangan lain," kata Fadhlina.

Mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 pula, beliau berkata, ia antara agenda bakal dimasukkan dalam siri Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara pada tahun depan.

"Kerangka (Kurikulum Persekolahan 2027) sudah siap. Sekarang, kita dalam proses untuk jerayawara bagi membincangkan perkara ini pada peringkat akar umbi," katanya.

Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata, pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, serta kelas pembelajaran bersepadu, adalah pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026. – BERNAMA

Berita Harian X