Isnin, 11 Disember 2023 | 12:26pm
 Jojo berjaya tewaskan Edgar Tabares hanya dalam masa 36 saat saja.
Jojo berjaya tewaskan Edgar Tabares hanya dalam masa 36 saat saja.

'Jojo mampu pergi lebih jauh ke persada dunia'

KUCHING : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof optimis bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau dikenali sebagai Jojo itu mampu pergi lebih jauh dalam sukan tempur berkenaan.

Fadillah berkata, kejayaan meraih gelaran juara kategori catchweight MuayThai Primetime US, ONE Championship 2023 ketika berdepan lawan lebih berpengalaman di Bangkok, Thailand, Jumaat lalu membuktikan keupayaan anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu.

Beliau berkata, kejayaan Jojo itu juga akan menjadi pendorong kepada Kelab Muay Thai Rentap di Sarawak melahirkan lebih ramai atlet sukan tempur bagi membawa cabaran negara.

"Pada usia baru menjangkau 17 tahun, saya percaya Jojo yang kini mewakili Kelab Muay Thai Rentap boleh pergi lebih jauh dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Syabas juga kepada Kelab Muay Thai Rentap Sarawak dan semoga dapat melahirkan lebih ramai jaguh muay thai untuk negara," katanya dalam catatan di akaun Facebooknya malam tadi.

Fadillah berkata, lebih membanggakan Jojo yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas di Kuching itu hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya yang berusia 29 tahun.

Pada pertarungan ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand, Jumaat lalu, Jojo menewaskan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares.

Sejak memyertai ONE Championship Februari lalu, Jojo mencatat pencapaian sempurna dengan empat kemenangan 'knockout' (KO).

Selain menumbang Tabares dalam masa hanya 36 saat Jumaat lalu, Jojo pernah menumbangkan petarung Russia,Temirlan Bekmurzaev dalam masa dua minit 43 saat pada Oktober lalu.

Dua lagi perlawanan turut dimenanginya dengan pukulan KO iaitu ketika berdepan cabaran Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand yang mengambil masa satu minit 37 saat pada Mei lalu.

Pada kemunculan sulung di arena ONE Championship Februari lalu, Jojo menumbangkan Padetsuk Fairtex dari Thailand dengan masa terpantas hanya 16 saat.

Satu-satunya pencabar yang mampu bertahan sehingga penamat perlawanan setakat ini ialah Samurai Seeopal Thailand yang menyaksikan Jojo muncul pemenang dengan keputusan sebulat suara.

Jojo turut mencipta sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM467,000) dengan ONE Championship Thailand selepas menumbangkan Bekmurzaev, Oktober lalu.

Berita Harian X