Ahad, 10 Disember 2023 | 3:25pm

Kematian Zayn Rayyan: Polis kumpul 228 DNA penduduk Apartmen Idaman

PETALING JAYA: Hari keempat selepas penemuan mayat kanak-kanak autisme mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin, polis mempertingkatkan siasatan termasuk melakukan saringan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beramai-ramai di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Ia bagi membantu siasatan polis dalam merungkai kes pembunuhan kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu yang ditemui mati di sebuah anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di Blok R apartmen terbabit.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata melalui saringan DNA yang mula dijalankan semalam, polis selesai mengambil sampel daripada 228 individu setakat ini.

"Semua 228 DNA sampel itu diambil daripada sebahagian penduduk di semua 18 blok Apartmen Idaman.

"Proses itu akan diteruskan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, sampel DNA diambil daripada sebahagian penghuni di Blok R iaitu blok kediaman keluarga Zayn Rayyan serta tiga saksi, serta pengurus kebun di lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui.

Dalam pada itu, katanya, polis sudah selesai melakukan proses pertanyaan dan pemeriksaan daripada rumah ke rumah di keseluruhan 18 blok membabitkan 2,484 unit kediaman dan kedai di apartmen terbabit.

"Kita juga jalankan pemeriksaan ke atas 5,628 penduduk di apartmen berkenaan. Pemeriksaan rumah ke rumah di seluruh blok (18 blok) juga selesai pagi tadi membabitkan 2,484 rumah dan kedai.

Anggota polis mengambil keterangan serta maklumat dari penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh Zayn Rayyan. - BERNAMA
Anggota polis mengambil keterangan serta maklumat dari penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh Zayn Rayyan. - BERNAMA

Anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Forensik Bukit Aman mengambil sampel DNA penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak tersebut, 200 Meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto BERNAMA.

"Kita menugaskan 90 pasukan untuk menyelesaikan segala proses berkenaan membabitkan 278 anggota polis terdiri daripada 90 pegawai dan 188 anggota," katanya.

Mengenai operasi siasatan di lokasi kejadian, Hussein berkata pencarian bukti masih diteruskan walaupun cuaca hujan memperlahankan operasi pihak polis.

Semalam, Hussein dilaporkan berkata polis sedang menjalankan proses mengumpul maklumat secara besar-besaran dalam mencari petunjuk yang boleh membantu siasatan berhubung kematian Zayn Rayyan.

Katanya, keterangan dan bukti yang ada ketika ini tidak memadai untuk membolehkan pihak polis mengesan seterusnya menahan suspek yang mendalangi kematian kanak-kanak itu.

Seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan sejauh 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi membantu siasatan hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X