Ahad, 10 Disember 2023 | 11:39am
Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd mengolah resipi mi sotong dan menggunakan teknologi ‘retort’ yang mampu memanjangkan hayat makanan. - Foto UMK
Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd mengolah resipi mi sotong dan menggunakan teknologi ‘retort’ yang mampu memanjangkan hayat makanan. - Foto UMK

Pelajar UMK raih pendapatan 6 angka hasil jualan mi sotong 'retort'

KOTA BHARU: Masih bergelar pelajar universiti, Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd sudah mampu meraih pendapatan enam angka hasil jualan mi sotong segera resepi temurun keluarga.

Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli ini mengolah resipi mi sotong jualan bapanya yang dipelajari sejak dia berusia sembilan tahun. Dia menggunakan teknologi 'retort' yang mampu memanjangkan hayat makanan.

Hasilnya, mi sotong segera dihasilkan mahasiwa Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bioindustri) Dengan Kepujian di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) ini terjual lebih RM100,000 dalam tempoh setahun sejak 2021.

Syed Muhammad Hafiz, 23, berkata sebelum ini, bapanya, Seeni Mohd menjual mi sotong di kaki lima di Pulau Pinang.

"Hasil pembelajaran di UMK dan resipi bapa, saya transformasikan makanan panas ini kepada makanan 'retort' sekaligus menerima permintaan luar biasa. Pek makanan ini kini ditempatkan di kedai dan kilang di Georgetown.

"Ia turut dijual di kedai runcit, stesen minyak terpilih dan dalam talian menerusi platform seperti Shoppe dan Tiktok Shop," katanya menambah, dia menggunakan modal sendiri pada peringkat awal bagi menghasilkan produk itu untuk dijual pada program pameran di universiti serta karnival keusahawanan.

Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd menerima pelbagai anugerah hasil kejayaan perniagaannya. - Foto UMK
Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd menerima pelbagai anugerah hasil kejayaan perniagaannya. - Foto UMK

Tidak lama kemudian, Syed Muhammad Hafiz berjaya menubuhkan syarikat sendiri, Seeni Food & Beverages Sdn Bhd dengan fokus kepada produk mi sotong, mi segera perisa Jepun dan pes makanan.

Selain itu, dia juga memperkenalkan produk minuman, serbat pelbagai perisa dan optimis mahu memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa seperti Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, China, Macau dan Emiriah Arab Bersatu (UEA).

"Saya banyak terima bimbingan daripada pensyarah dan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dengan bantu daftar syarikat siswa universiti (SSU)," kata pelajar asal Pulau Mutiara ini yang turut menerima beberapa pengiktirafan hasil kejayaan perniagan diusahakannya.

Berita Harian X