Ahad, 10 Disember 2023 | 11:21am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Jegil mata, senyum sinis, jelir lidah dan boikot dikategorikan buli

KUALA LUMPUR: Menjegil mata, senyum sinis dan mencebik mulut, selain menjelirkan lidah dan boikot diklasifikasikan sebagai perbuatan buli yang kerap berlaku dalam kalangan murid sekolah.

Perkara itu disenarai dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan jenis salah laku buli boleh terjadi dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, lisan, bukan lisan dan secara siber.

Buli fizikal membabitkan kekerasan atau keganasan fizikal ke atas tubuh badan dan harta benda mangsa.

Ia seperti memukul, menggigit, menyepak, mencubit, meludah, menendang, menumbuk, menampar, mencuri, menyembunyikan atau merosakkan harta benda mangsa atau memaksa mangsa melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Buli lisan pula merujuk salah laku buli yang dilakukan dengan percakapan seperti mengejek, mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin atau fitnah, mengancam dan mengejek saiz badan orang lain ('bodyshaming'), paras rupa, warna kulit, keturunan, bangsa dan kecacatan.

Buli lisan juga membabitkan panggilan atau gelaran mengaibkan, memfitnah, mencarut, memaki, menghina, mengherdik, mempersenda dan pernyataan-pernyataan lisan lain.

Sementara buli bukan lisan adalah salah laku buli yang dilakukan dengan isyarat atau gaya bahasa badan, gerak tubuh dan mimik muka seperti menjegilkan mata, senyum sinis dan mencebik mulut, menjelir lidah, isyarat lucah dan perbuatan-perbuatan lain bukan lisan yang seumpamanya.

Buli jenis ini juga boleh menjadi suatu bentuk serangan psikologi, iaitu melalui perbuatan seperti pemulauan atau boikot dan juga pengasingan.

Buli siber pula adalah perbuatan dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi menggunakan teknologi seperti teks, berbual (chatting), e-mel, laman web sosial, telefon bimbit dan permainan dalam talian.

Antara contoh salah laku buli siber seperti memulaukan atau menyingkirkan seseorang dari kumpulan media sosial atau menyekat e-mel mereka tanpa sebab, menipu seseorang untuk mendedahkan maklumat peribadi dan menyebarkan kepada orang lain dengan tujuan untuk memalukan.

Menggodam e-mel atau akaun media sosial seseorang untuk menghantar mesej palsu dengan menyamar sebagai pemilik akaun dan menggunakan media sosial untuk mempersendakan orang lain seperti rakan sekelas atau guru.

Semalam KPM melalui kenyataan media mengesahkan sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar sekolah menengah, Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang dikatakan melarikan diri dari asrama kerana tidak tahan dibuli.

Muhammad Danial Akmal hilang dari kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Jalan Yaacob Latif di Cheras di sini pada Khamis lalu, sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam tadi.

Ibu remaja itu, Shuhada Jamaludin, 38, berkata anaknya yang ditemui selamat mengaku dibuli dengan teruk sebelum nekad melarikan diri dari sekolah pada jam 3 pagi Khamis lalu.

Bagi menangani isu buli dengan lebih berkesan, KPM menyediakan beberapa saluran yang boleh dimanfaatkan untuk membuat aduan.

Aduan termasuk termasuk kes gangguan seksual boleh dibuat menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

KPM juga mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023 bertarikh 3 November lalu sebagai panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawahnya.

Berita Harian X