Sabtu, 9 Disember 2023 | 11:26pm

Pasangan warga emas mati dibunuh anak sendiri

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri warga emas ditemui mati dibunuh anak lelakinya malam tadi dengan mayat kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini.

Sebelum kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai bertengkar dengan ibu bapanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid yang mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

"Selepas membunuh ibu dan bapanya, suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran kediaman mereka.

"Berikutan itu polis kini melakukan gerakan memburu suspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya kepada BH, malam ini.

 Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid

Ketika ditanya bagaimana suspek membunuh kedua-dua ibu bapanya dan motif pembunuhan, Allaudeen berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Anggota keluarga mangsa kelihatan sedih ketika anggota polis mengeluarkan dua mayat ibu bapa yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X