Sabtu, 9 Disember 2023 | 10:14pm
 Esam dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel terhadap Gaza beberapa hari lalu. Foto ihsan UUM
Esam dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel terhadap Gaza beberapa hari lalu. Foto ihsan UUM

Pelajar PhD UUM terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

ALOR SETAR: Seorang pelajar semester kelima pengajian doktor falsafah (PhD) undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Esam M M Elkahlout dari Palestin meninggal dunia dalam serangan askar Israel di Semenanjung Gaza, beberapa hari lalu.

Berita kematian Esam, 38, yang disifatkan sebagai syahid disahkan hari ini dan Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.

"Saya mengajak semua warga UUM dan rakyat negara ini terus berdoa supaya peperangan di Palestin dapat dinoktahkan segera.

"Seluruh dunia wajar memberi peluang untuk penduduk Palestin meneruskan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"UUM akan terus membantu warga Palestin menerusi pendidikan dengan yuran yang sama dengan penduduk negara ini, malah pelbagai bentuk bantuan turut dihulurkan kepada mereka," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Timbalan Dekan yang menjalankan fungsi Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Prof Dr Harlida Abdul Wahab berkata, pihaknya baru mendapat berita itu hari ini dan sedang menunggu maklumat lanjut berkenaan pelajar terbabit.

Berita Harian X