Sabtu, 9 Disember 2023 | 9:07pm
Foto dikongsi orang ramai yang menemui Danial yang dikatakan hilang dari asrama sekolahnya di Cheras. - Foto FB
Foto dikongsi orang ramai yang menemui Danial yang dikatakan hilang dari asrama sekolahnya di Cheras. - Foto FB

KPM siasat dakwaan Danial dibuli di sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar sekolah menengah, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi yang dikatakan melarikan diri dari asrama kerana tidak tahan dibuli.

Dalam satu kenyataan petang tadi, KPM mengambil perhatian dakwaan kes buli di sekolah seperti yang dilaporkan media bagi memastikan isu terbabit dapat diselesaikan segera.

Media hari ini melaporkan Muhammad Danial Akmal hilang dari kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Jalan Yaacob Latif di Cheras di sini pada Khamis lalu, sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam tadi.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata anaknya yang ditemui selamat itu mengaku dibuli dengan teruk sebelum nekad melarikan diri dari sekolah pada jam 3 pagi Khamis lalu.

Bagi menangani isu buli dengan lebih berkesan, KPM memaklumkan pihaknya menyediakan beberapa saluran yang boleh dimanfaatkan untuk membuat aduan.

"Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM.

"KPM menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli.

"Ia termasuk kes gangguan seksual yang boleh dibuat menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)," katanya.

Berita Harian X