Sabtu, 9 Disember 2023 | 6:43pm

'Hasil bedah siasat Zayn Rayyan tak boleh didedahkan'

PETALING JAYA: Laporan hasil bedah siasat membabitkan kematian kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, tidak akan didedahkan kepada umum kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid, berkata setiap maklumat diperoleh pihak polis termasuk laporan hasil bedah siasat mangsa perlu dijaga kerahsiaannya.

"Kita tidak perlu dedahkan maklumat sedemikian pada umum, kita perlu jaga kerahsiaan itu.

"Apabila kita dapat maklumat, sudah pasti Ketua Polis Selangor akan maklumkan mengenainya," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Fakhrudin mengingatkan, siasatan akan dijalankan terhadap mana-mana individu yang memberi laporan tidak tepat sehingga mencemarkan keluarga mangsa.

"Kita (polis) juga akan buka laporan jika ada komen daripada orang awam yang palsu dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Selain itu, tindakan tegas juga diambil terhadap mereka yang menyebarkan maklumat sehingga mencemar maruah keluarga mangsa. Kita (polis) memandang serius perkara ini," katanya.

Terdahulu, empat anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikerahkan ke lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan bagi mengesan jika terdapat penemuan petunjuk baharu.

 Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui berdekatan anak sungai di Apartment Idaman, Damansara Damai. NSTP/ MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui berdekatan anak sungai di Apartment Idaman, Damansara Damai. NSTP/ MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Berita Harian X