Sabtu, 9 Disember 2023 | 6:31pm
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - BERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - BERNAMA

Elak UMNO rosak kerana 'tikus baiki labu' dari dalam - Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat Isham Jalil dibuat demi mengelak kerosakan kepada parti disebabkan usaha 'tikus membaiki labu' dari dalam.

Presiden UMNO itu bagaimanapun menafikan keputusan dibuat parti dalam kes membabitkan Isham itu sebagai amaran kepada pihak yang mengkritik UMNO serta Presidennya.

Malah, beliau menegaskan tindakan mengkritik Presiden tidak menjadi pertimbangan sehingga membawa kepada keputusan pemecatan Ahli MKT yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO itu.

"Apabila menghina parti sendiri dan mengecilkan UMNO sebagai sebuah parti yang dianggotainya, ertinya tindakan itu (pemecatan) dilakukan MKT supaya tidak ada usaha 'tikus membaiki labu' ini dalam UMNO itu sendiri.

"Orang itu (tanpa merujuk kepada sesiapa) kalau ada lagi dalam UMNO, (maka) akan rosak lagi UMNO," katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Isham yang mengesahkan sudah menerima surat pemecatannya daripada parti UMNO yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp, lewat malam semalam.

Isham turut memberikan salinan surat pemecatan itu kepada media yang mana surat bertarikh 8 Disember itu ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keputusan memecat Isham dibuat MKT UMNO dan ia tidak perlu melalui Jawatankuasa Disiplin parti.

"Jawatankuasa Disiplin pun akan bawa ke MKT dan MKT akan memutuskannya. Apa yang diputuskan oleh MKT itu adalah muktamad," katanya.

Terdahulu, Isham mengesahkan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan pemecatan beliau kerana berpendapat tindakan itu sia-sia.

Ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti politik lain, beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk memikirkannya.

"Saya sudah tetapkan objektif iaitu untuk menyatukan Melayu di negara ini dan saya akan fikirkan bagaimana untuk capai matlamat itu," katanya.

Berita Harian X