Sabtu, 9 Disember 2023 | 2:21pm
Mohamed Khaled (tengah) menyempurnakan majlis MoU Perancangan Pembangunan Daerah Kota Tinggi antara MDKT dan Institut Sultan Iskandar, UTM di MDKT di sini, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
Mohamed Khaled (tengah) menyempurnakan majlis MoU Perancangan Pembangunan Daerah Kota Tinggi antara MDKT dan Institut Sultan Iskandar, UTM di MDKT di sini, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN

'Isham Jalil dipecat kerana sudah melampaui batas' - Khaled

KOTA TINGGI: Pemecatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dibuat oleh pucuk pimpinan parti adalah bagi mengawal tindak-tanduk seorang ahli parti yang disifatkan sudah melampaui batas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata parti perlu memastikan tiada mana-mana ahlinya yang bertindak sesuatu sehingga mengganggu gugat parti.

Beliau berkata, banyak cara atau pendekatan lain yang boleh diambil Isham jika ingin mengkritik atau menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap parti, apatah lagi dengan jawatannya sebagai Ahli MKT.

"Itu soal disiplin, mana-mana ahli parti dalam mana-mana parti pun, terutama UMMO sebagai sebuah parti yang besar. Kita perlu pastikan tidak berlakunya tindak-tanduk seseorang ahli yang menggugat parti atau yang bercakap sesuka hati.

"Jika dia (Isham) 'cross the line', MKT berpendapat ada banyak cara dan banyak pendekatan (saluran yang betul untuk digunakan), lebih-lebih lagi dia seorang Ahli MKT.

"Jadi, perlulah parti ini mengawal tindak-tanduk, kalau tidak semua orang jadi macam dia tentu parti bermasalah. Jadi ia hanya soal mengurus disiplin ahli-ahli dalam parti," katanya selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perancangan Pembangunan Daerah Kota Tinggi antara Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di MDKT di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemecatan Isham yang dibuat semalam selepas Mesyuarat MKT UMNO memutuskan mengenai pemecatan itu Rabu lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Kelmarin.

"Saya percaya sebagai Menteri Besar yang juga menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO perlu diimbangi dan perlu pastikan parti dapat terus memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan dan kerajaan dapat menterjemahkan segala hasrat serta aspirasi parti.

"Ini supaya perkara yang diperjuangkan parti dapat dijadikan sebagai asas dan dasar dalam kerajaan boleh terus diterjemahkan," katanya.

Mohamed Khaled yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan pelantikan Onn Hafiz kerana pemilihan jawatan itu adalah hak dan budi bicara presiden parti.

Berita Harian X