Sabtu, 9 Disember 2023 | 1:25pm
Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi (tengah) menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor USAS pada Istiadat Konvokesyen USAS ke-16, hari ini. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi (tengah) menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor USAS pada Istiadat Konvokesyen USAS ke-16, hari ini. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Nordin Kardi dilantik Pro-Canselor USAS

KUALA KANGSAR: Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor universiti berkenaan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Nordin, 71, anak kelahiran Teluk Intan sebelum ini menggalas tanggungjawab Naib Canselor USAS bermula 2014 hingga April lalu selepas menyumbang khidmat dalam jawatan sama di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama lima tahun sehingga 2010.

Penyerahan watikah pelantikan kepada beliau, yang juga pernah berkhidmat di beberapa universiti lain dan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan, disempurnakan oleh Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS sempena istiadat konvokesyen ke-16 universiti berkenaan.

Konvokesyen kali ini membabitkan seramai 1,525 graduan, merangkumi 12 penerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (34), diploma pascasiswazah (9), ijazah sarjana muda (778) dan diploma (692).

Sultan Nazrin turut menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Mohamed Aiedil Putera Sulaiman.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - BERNAMA

Anugerah Menteri Besar Perak pula diterima Muhammad Asyraf Mohd Zamri (Ijazah Sarjana Muda Usuluddin) dan Anugerah Naib Canselor diterima Aljazira Zainal (Diploma Kaunseling Islami).

Empat graduan menerima anugerah terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial serta Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.

Mereka ialah Luqman Haqim Awang Kecil (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab), Mohamad Syahrul Asad Ab Malik (Diploma Pengajian Islam), Siti Nur Izzati Jumali (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer) dan Nurdania Fatihah Mohd Rohaizan (Diploma Perakaunan).

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dalam ucapannya, berkata istiadat hari ini melakar sejarah baharu kerana USAS berjaya melahirkan barisan graduan antarabangsa pertama bagi PhD.

"Tiga graduan PhD berkenaan berasal dari Uganda dan seorang dari Thailand. Di peringkat ijazah sarjana dan sarjana muda pula, kita meraikan graduan pertama Ijazah Sarjana Pengurusan Pembelajaran Jarak Jauh dalam Talian (ODL) serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak," katanya.

Berita Harian X