Sabtu, 9 Disember 2023 | 12:17pm
Rumah yang didiami oleh ibu bapa Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto NSTP/ Sadiq SaniI
Rumah yang didiami oleh ibu bapa Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto NSTP/ Sadiq SaniI

Kematian Zayn Rayyan: Polis selesai periksa tiga blok apartmen

KUALA LUMPUR: Polis sudah memeriksa 540 unit rumah membabitkan tiga blok kediaman di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Sungai Buloh berkait dengan siasatan kes kematian kanak-kanak enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata operasi pada fasa 'pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah' yang dijalankan pasukan penyiasat.

"Setakat ini, kita sudah memeriksa tiga blok perumahan membabitkan 540 unit daripada 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.

"Siasatan juga masih dijalankan dengan memeriksa saliran air berdekatan Apartmen Idaman yang menjadi lokasi penemuan mangsa," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih berjalan membabitkan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Terdahulu, BH melaporkan siasatan polis dalam kes bunuh Zayn Rayyan menjurus dua fasa demi merungkai termasuk mengenal pasti siapa dalang di sebalik pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata untuk fasa pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.

Bagi fasa kedua pula, katanya siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih 2,400 rumah.

Berita Harian X