Jumaat, 8 Disember 2023 | 8:58pm

NVIDIA, YTL perkasa ekosistem AI Malaysia babitkan pelaburan RM20 bilion

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi multinasional yang juga perintis dalam perkomputeran dipercepatkan, NVIDIA Corporation menyokong dan membantu membangunkan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain mewujudkan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

Beliau berkata, ini kerana, Malaysia berpotensi menjadi 20 negara teratas berkaitan AI, selain menekankan negara memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi diterajui ekosistem berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, NVIDIA Corporation akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI membabitkan pelaburan bernilai RM20 bilion.

NVIDIA Corporation kini adalah syarikat keenam terbesar dunia dari segi permodalan pasaran, manakala YTL sudah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di negara ini.

"NVIDIA melihat Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan dalam menyediakan keperluan dan syarat sebagai hab AI.

"Keputusan NVIDIA untuk melabur di negara ini adalah isyarat jelas bahawa pelabur asing, terutama syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

"Sebelum pulang, Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang sempat berseloroh dengan saya bahawa hari ini beliau akhirnya dapat berjumpa dengan 'Perdana Menteri AI'," katanya, malam ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengadakan pertemuan bersama Jensen dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong, petang tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong di Putrajaya hari ini - Foto FB Perdana Menteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong di Putrajaya hari ini - Foto FB Perdana Menteri
Berita Harian X