Jumaat, 8 Disember 2023 | 8:14pm
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai hari ini.

'Biar polis buat kerja, masyarakat perlu elak telahan rambang kes Zayn Rayyan'

Kuala Lumpur: Beban kesalahan atas tragedi yang menimpa kanak-kanak autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD), Zayn Rayyan Abdul Matiin, tidak wajar diletakkan ke atas bahu ibu bapanya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nur Saadah Mohamad Aun, berpendapat masyarakat tidak berhak mengadili perkara itu kerana polis masih lagi menjalankan siasatan.

"Perkara ini masih dalam siasatan. Kecuaian boleh berlaku di mana-mana, oleh sesiapa sahaja. Bukan setakat dalam konteks penjagaan kanak-kanak autisme.

"Maka adalah lebih baik isu ini tidak dihangatkan dengan menuding jari dan mencari kesalahan atas kecuaian yang berlaku kepada sesiapa pun. Bagi ruang kepada penyiasatan (polis).

"Saya percaya ibu bapa arwah (Zayn Rayyan) sudah menjaga dan memantau sehabis baik. Maka, lebih baik kita memberi sokongan kepada ahli keluarganya dalam menghadapi situasi yang amat sulit ini," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Saadah berkata, autisme adalah gangguan neurologi yang memberi kesan kepada perkembangan seseorang.

"Ini boleh mempengaruhi tingkah laku, komunikasi dan kemahiran sosial. Autisme digambarkan sebagai gangguan spektrum kerana terdapat pelbagai sifat autisme dan tahap keterukan.

"Tahap 1 (keterukan rendah), Tahap 2 (keterukan sederhana) dan Tahap 3 (keterukan tinggi). Tahap keterukan ini juga bergantung kepada sejauh mana sokongan yang diperlukan oleh mereka yang autisme.

"Individu dengan autisme biasanya berkongsi beberapa ciri atau tanda umum, tetapi kesannya terhadap seseorang adalah berbeza-beza, sebab itulah ia dipanggil sebagai spektrum.

"Secara umumnya, kanak-kanak autisme mengalami masalah pertuturan, emosi, pemikiran dan pola permainan," jelas beliau.

Dalam mengurus kanak-kanak autisme, Nur Saadah berkata, ibu bapa yang mempunyai anak sedemikian berhadapan cabarannya tersendiri, bergantung kepada tahap autisme kanak-kanak terbabit.

"Lazimnya kanak-kanak ini mengalami masalah dalam komunikasi sosial. Mereka tidak selesa dengan kontak mata, kekurangan perbualan timbal balik dan kesukaran berkomunikasi termasuk komunikasi bukan lisan seperti memahami bahasa badan dan isyarat sosial.

"Ini menyebabkan mereka sering mengalami kesukaran sosial yang membawa kepada kebimbangan, hilang kawalan dan ketidak upayaan untuk menjangka apa yang berlaku. Inilah cabaran utama kepada penjaga dalam menguruskan kanak-kanak autisme.

"Walau bagaimanapun, kanak-kanak autisme ini lebih mudah diurus kerana mereka jujur dan menerima iaitu mereka akan jujur dan memberitahu orang lain perkara sebenar.

"Mereka tidak menghakimi, berprasangka, atau manipulatif, dan mereka menerima orang lain sebagaimana adanya," katanya.

Selain itu, katanya kanak-kanak autisme ini sangat boleh dipercayai, lebih berintegriti dan sangat teliti.

"Mereka sangat boleh dipercayai, dan kelebihan mereka yang suka kepada sesuatu yang spesifik, membantu mereka meneruskan komitmen dan janji," katanya.

Dalam menguruskan kanak-kanak austisme ini, katanya ibu bapa atau penjaga perlu menyediakan zon selamat di rumah seperti menyediakan ruang peribadi di mana mereka boleh berehat dan berasa selamat.

"Ini membabitkan penyusunan dan penetapan sempadan dengan cara yang boleh difahami oleh mereka. Isyarat visual boleh membantu (kawasan penandaan pita berwarna yang terlarang, melabel item di dalam rumah dengan gambar).

"Ibu bapa juga perlu memastikan keselamatan rumah, terutamanya jika mereka boleh terdedah kepada tingkah laku lain yang mencederakan diri sendiri," katanya.

Menurut beliau, ibu bapa perlu memerhatikan sensitiviti deria kerana ramai kanak-kanak autisme hipersensitif kepada cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan bau.

"Sesetengah kanak-kanak autisme 'kurang sensitif' kepada rangsangan deria. Kenal pasti pemandangan, bunyi, bau, pergerakan dan sensasi sentuhan yang mencetuskan tingkah laku 'buruk' atau mengganggu mereka dan perkara yang menimbulkan tindak balas.

"Contohnya, apakah perkara yang membuatkan mereka rasa tertekan, menenangkan, tidak selesa, atau rasa seronok," katanya.

Nur Saadah berkata, ibu bapa perlu membuat perancangan rawatan mereka dan menyusun pelan berkenaan mengikut kekuatan, keunikan dan kelemahan mereka serta menyesuaikan mengikut keperluan mereka.

"Penjaga kanak-kanak autisme juga perlu mendapatkan sokongan kerana menjaga golongan ini menuntut banyak tenaga dan masa.

"Mungkin ada hari-hari tertentu penjaga berasa terharu, tertekan atau putus asa. Menjadi ibu bapa yang terbaik, memerlukan anda untuk menjaga diri sendiri dan kualiti hidup yang baik.

"Dapatkan nasihat dan sokongan dari kumpulan sokong bantu, rehat seketika dari penjagaan (me time), berjumpa pekerja sosial, kaunselor atau psikologis klinikal sekiranya memerlukan bantuan profesional," katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai keperluan kanak-kanak autisme, Nur Saadah berkata, masyarakat perlu tahu bahawa golongan ini tidak sama dengan kanak-kanak lain seperti hiperaktif dan masalah pembelajaran.

"Mereka ini berbeza dan sesama mereka juga berbeza, sebab itulah dinamakan sebagai spektrum. Malah kanak-kanak autisme ini mempunyai kecerdasan yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal.

"Program-program kesedaran berbentuk psiko pendidikan perlu lebih digandakan terutama di kejiranan dan media sosial.

"Stigma dan prejudis terhadap kanak-kanak autisme ini perlu dibuang. Dapatkan diagnosa segera di hospital, klinik atau pusat yang menyediakan khidmat penilaian bagi perkembangan kanak-kanak," katanya.

Berita Harian X