Jumaat, 8 Disember 2023 | 6:51pm
Anggota Unit Dron PGU PDRM menerbangkan dron di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP
Anggota Unit Dron PGU PDRM menerbangkan dron di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis terbang dron kesan laluan tikus di lokasi penemuan mayat

PETALING JAYA: Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan dron di sekitar lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, berhampiran Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Operasi menerbangkan dron dilaksanakan sepasukan anggota daripada Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman kira-kira jam 5 petang tadi.

Berdasarkan pemerhatian, dua anggota dilihat menerbangkan satu unit dron pada ketinggian 30 meter selama kira-kira 20 minit di kawasan anak sungai di mana mayat Zayn Rayyan ditemui malam Rabu lalu, serta kawasan belukar berhampiran lokasi berkenaan.

Difahamkan, tujuan dron diterbangkan untuk mengesan sebarang denai atau laluan tikus yang terdapat di kawasan itu bagi membantu siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat turut memeriksa kenderaan yang diletakkan di sekitar Blok R dan S untuk melihat sekiranya terdapat kamera papan pemuka pada kenderaan terbabit.

Ia dipercayai bertujuan untuk mendapatkan sebarang rakaman berhampiran tempat kejadian yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak istiewa berusia enam tahun itu.

Anggota Unit Dron PGU PDRM menerbangkan dron di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP
Anggota Unit Dron PGU PDRM menerbangkan dron di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP

Anggota Unit Dron PGU PDRM memeriksa dron yang akan diterbangkan di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP/NOR AZIZAH MOKHTAR
Anggota Unit Dron PGU PDRM memeriksa dron yang akan diterbangkan di sekitar lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui petang semalam. - NSTP/NOR AZIZAH MOKHTAR

Terdahulu, BH melaporkan polis menyiasat kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan susulan laporan bedah siasat semalam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam Rabu lalu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Blok R Apartmen Indah.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Berita Harian X