Jumaat, 8 Disember 2023 | 5:35pm

Jauhi politik kebencian, labelkan saudara seagama munafik, sama dengan Israel

KUALA LUMPUR: Kenyataan menyamakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan golongan munafik dan zionis Israel adalah satu pembohongan dan pemesongan fakta yang nyata.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata,

kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan salah faham.

Katanya, kenyataan seumpama itu juga penuh dengan sikap menunggang dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata.

"YADIM ingin menyeru seluruh rakyat untuk berhati-hati dalam menerima dakyah yang membawa kepada pemikiran pelampau dan ekstrim terutama yang menyeru ke arah perpecahan dan menghukum saudara satu akidah tidak bersama perjuangan Islam sedangkan percanggahan hanya khilaf (beza) pada sudut politik.

"YADIM juga menyeru ahli politik Malaysia khasnya dari kalangan umat Islam, menjauhi dan meninggalkan gaya politik kebencian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada catatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh PKR sebagai parti minoriti kini memimpin `kerajaan boneka pragmatik liberal', iaitu sama seperti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

"Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafik pada zaman Rasulullah terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan," katanya seperti dilaporkan.

Hasanuddin berkata, adalah keterlaluan bagi seorang ahli politik veteran seperti Abdul Hadi terus mencurahkan 'minyak ke api' dengan melabel dan membuat perbandingan melampau kepada lawan politik.

Katanya, lebih teruk lagi apabila Abdul Hadi mensasarkan pemimpin yang sedang mentadbir negara dan sentiasa berusaha memakmurkan negara.

"Menyamakan sikap munafik dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya adalah satu pemesongan fakta yang nyata.

"Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran, yang mana boleh dirujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada Negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2024," katanya.

Beliau menegaskan tuduhan Abdul Hadi sebenarnya sama seperti 'menepuk air di dulang, terkena ke muka sendiri' kerana perkara yang sama pernah dilakukan kerajaan terdahulu yang turut disertai PAS.

"Ternyata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan banyak salah faham dan penuh dengan sikap menunggang dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata.

Dalam masa yang sama, katanya YADIM ingin menasihati seluruh pihak untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menggunakan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah dengan memetik tanpa merujuk kepada asbabul nuzul dan konteks yang benar dan tepat.

"Islam menyeru kepada keharmonian dan keamanan sejagat. Islam bukanlah agama milik individu atau kelompok tertentu, tetapi agama daripada Allah SWT sebagai panduan penyelesaian kepada seluruh umat manusia. Kembalilah kepada 'agama itu satu nasihat," katanya.

Berita Harian X