Jumaat, 8 Disember 2023 | 4:02pm
TH menyerahkan Lesen PJH kepada 25 syarikat pelancongan tempatan termasuk dan anak syarikatnya, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) semalam.
TH menyerahkan Lesen PJH kepada 25 syarikat pelancongan tempatan termasuk dan anak syarikatnya, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) semalam.

Ada sudah 10 tahun jadi PJH, PAPUH minta TH beri peluang syarikat baharu

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) mengingatkan Lembaga Tabung Haji (TH) supaya memberikan peluang kepada syarikat serta agensi pelancongan baharu untuk berperanan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Setiausaha Agung PAPUH, Faridah Hamid berkata ini kerana ada dalam kalangan syarikat yang disenarai sebagai PJH sudah lebih 10 tahun diberikan tanggungjawab itu oleh pihak TH.

"Tidak dinafikan syarikat-syarikat itu telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah haji sebelum ini, tetapi kami percaya banyak lagi syarikat dan agensi pelancongan lain yang turut mampu memberikan perkhidmatan setanding jika diberikan peluang.

"Justeru, PAPUH berharap pihak TH akan lebih terbuka dalam hal ini," katanya melalui kenyataan.

Semalam, TH menyerahkan Lesen PJH kepada 25 syarikat pelancongan tempatan termasuk dan anak syarikatnya, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) bagi musim haji 1445H/2024.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan 25 PJH itu sebagai persediaan menghadapi musim haji 1445H.

Tahun ini kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota Jemaah Haji Malaysia yang merupakan jumlah kuota penuh sepertimana diluluskan pada musim haji lalu.

PAPUH turut mengucapkan tahniah kepada 18 ahlinya yang dilantik sebagai PJH dan berharap ia akan memberikan semangat kepada lebih banyak syarikat agensi pelancongan untuk menceburi bidang pengurusan haji pada masa akan datang.

Faridah berkata, PAPUH juga mengingatkan TH untuk hanya fokus dalam menguruskan haji sahaja dan tidak sesekali terbabit dengan mempromosikan pakej pelancongan lain.

"Kami difahamkan TH akan menganjurkan Pameran Pelancongan yang melibatkan pakej-pakej selain haji. Cukuplah TH memonopoli sektor haji sahaja," katanya.

Berita Harian X