Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:40pm

'DAP enggan layan dakwaan UMNO jadi baruanya'

KUALA LUMPUR: DAP tidak mahu melayan dakwaan 'bekas' Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, yang mendakwa UMNO lebih rela menjadi 'barua' atau budak suruhan DAP, sekali gus menjadi punca parti itu ditolak orang Melayu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyifatkan dakwaan Isham itu tidak mewakili sesiapa pun.

"Tak perlulah (ulas). Isham Jalil itu tak mewakili sesiapa," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran FLYsiswa di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Isham bahawa Umno lebih rela menjadi 'barua' DAP berbanding memperjuangkan orang Melayu dan Islam.

Dalam rakaman video dikongsikan di Facebook pada 5 Disember lalu, Isham dilaporkan berkata kekalahan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman didakwa berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi 'penjilat' DAP.

Isham mendakwa UMNO akan terus berdepan penolakan orang Melayu kerana parti itu yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi 'barua DAP'.

Susulan kenyataan Isham itu, beliau kemudiannya dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Berita Harian X