Jumaat, 8 Disember 2023 | 12:08pm
Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, dan Zaim Ikhwan Zahari, 28, kelihatan tiba di kediaman mereka di Apartmen Idaman sebaik jenazah anak mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara malam tadi.
Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, dan Zaim Ikhwan Zahari, 28, kelihatan tiba di kediaman mereka di Apartmen Idaman sebaik jenazah anak mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara malam tadi.

Polis temu bual ibu bapa Zayn Rayyan, rakam keterangan saksi

KUALA LUMPUR: Polis bertemu semula dengan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui mati dibunuh, bagi mendapat sebarang maklumat baharu yang boleh membantu siasatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, ketika mengesahkan perkara itu berkata, polis juga dijangka akan merakam keterangan mereka sekali lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan dan polis turut selesai merakam keterangan saksi yang menemui mayat Zayn Rayyan, malam kelmarin.

"Segala maklumat yang diperoleh daripada mereka perlu untuk siasatandan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat-maklumat lain," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, proses pencarian bahan bukti masih giat dilakukan di lokasi kejadian eejak malam tadidalam membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan, enam tahun.

Terdahulu, polis akan akan meneruskan usaha mengumpul bukti-bukti yang ada dalam membantu dalam menjejak pembunuh Zayn Rayyan di sekitar kawasan mayatnya ditemukan.

Mengulas perkara itu, Mohd Fakhrudin berkata siasatan lanjut di tempat kejadian membabitkan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kita juga memohon orang ramai terutama penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat untuk membantu siasatan polis, walau sekecil-kecil maklumat diharap dapat membantu siasatan kita.

"Tumpuan siasatan kita ialah di keseluruhan kawasan perumahan ini yang mengandungi 18 blok apartmen terdiri 2,484 kediaman serta kedai dengan keluasan kawasan kira-kira lapan hektar serta kawasan anak sungai di mana mayat mangsa ditemui," katanya.

Katanya, selain siasatan di tempat kejadian, polis juga memfokus untuk menganalisis segala keterangan yang kita rakam daripada saksi dan maklumat yang diterima untuk mengesan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, semalam memaklumkan polis akan merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan, selepas bedah siasat menunjukkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mati akibat dibunuh.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Selain itu, katanya polis Selangor turut mewujudkan 'task force' (pasukan khas) fokus untuk membantu dalam siasatan kes ini.

Berita Harian X