Jumaat, 8 Disember 2023 | 7:32am

Pencarian budak autisme, Zayn Rayyan: Wartawan BH kongsi pengalaman

Kira-kira jam 10 malam kelmarin, mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ditemui di kawasan anak sungai sejauh 200 meter dari blok kediaman keluarganya di Apartment Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya. Kanak-kanak berusia enam tahun itu disedari hilang tengah hari Selasa. Ikuti perkongsian wartawan BH, Safeek Affendy Razali, yang turut menyertai pencarian digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam kelmarin, sehingga membawa penemuan mayat Zayn Rayyan.

"Keadaan sekitar Apartment Idaman ketika itu hujan renyai, dengan penduduk bersama pihak polis mula berkumpul untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Tepat jam 9 malam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mewujudkan 18 kumpulan SAR bagi tujuan memeriksa 2,484 unit kediaman di Apartment Idaman di Damansara Damai. Taklimat mengenai SAR berlangsung di Dewan Orang Ramai Blok L Apartment Idaman, yang mana setiap kumpulan turut disertai tiga anggota polis. Pemeriksaan bermula sekitar jam 9.40 malam.

Saya sendiri menyertai Mohamad Fakhrudin bersama satu daripada kumpulan yang ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di salah sebuah blok.

Sekitar jam 10.05 malam, ketika menyertai pemeriksaan, Mohamad Fakhrudin tiba-tiba menerima satu panggilan telefon. Daripada riak wajahnya, jelas sekali panggilan itu cukup penting. Telahan saya benar kerana ia membawa berita penemuan Zayn Rayyan.

Bagaimanapun persoalan ketika itu masih lagi berlegar mengenai keadaan kanak-kanak itu, sama ada masih bernyawa atau sebaliknya. Ia belum dapat dipastikan.

Saya ditemani beberapa media lain segera mengikuti Mohamad Fakhrudin yang bergegas melintasi tiga unit blok Aparment Idaman menuju blok kediaman keluarga mangsa.

Dari blok itu, kami kemudian dibawa pula melintasi satu lagi blok kediaman sebelum menuju kawasan belukar kira-kira 200 meter ke kawasan anak sungai.

Kawasan semak agak gelap dengan keadaan muka buminya sedikit berlereng. Disebabkan hujan dikatakan sudah dua hari melanda, keadaan permukaan sedikit berlecak dan licin.

Dari kawasan berlereng itu, saya bersama pengamal media lain mengikuti Mohamad Fakhrudin menuruni tebing menuju kebun kecil yang dikatakan diusahakan penduduk, sebelum menuruni tebing ke kawasan tepi anak sungai.

Sepanjang menuju kawasan itu, hati saya kuat mengatakan nasib tidak menyebelahi Zayn Rayyan. Jika benar kanak-kanak itu selamat, kenapa tidak dibawa keluar untuk diberikan rawatan segera. Telahan saya mungkin suatu yang buruk sudah berlaku.

Malah, ketika mula sampai ke kawasan semak, saya menyedari beberapa penduduk yang menyertai SAR cuba menenangkan bapa Zayn Rayyan yang sedikit tertekan.

Saya cuba dapatkan sedikit penjelasan daripada Mohamad Fakhrudin, namun tidak banyak dapat dikongsi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu ketika itu.

Menghampiri kawasan anak sungai itu, saya mula melihat dengan jelas belasan anggota polis bersama beberapa kumpulan penduduk yang menyertai kumpulan SAR berhimpun.

Bagaimanapun saya berhenti di kawasan tebing kira-kira lima meter dari anak sungai. Dari kawasan itu yang sedikit tinggi, hati saya cukup tersentuh melihat sekilas jasad terbaring dalam keadaan samar malam. Ia jasad Zayn Rayyan.

Berdasarkan maklumat diterima ketika itu, kanak-kanak berkenaan dikatakan ditemui dalam keadaan lengkap dengan baju dan seluar biru yang dipakainya semasa dia dilaporkan hilang.

Ketika itu, garisan kuning polis belum lagi dipasang dan penghuni Apartment Idaman serta penduduk sekitar semakin ramai membanjiri selepas berita penemuan Zayn Rayyan tersebar.

Mohamad Fakhrudin segera mengarahkan kawasan dikosongkan dan anggota polis dengan dibantu penduduk membantu mengawal lokasi. Pujian saya berikan kepada anggota IPD Petaling Jaya serta penduduk yang menyertai SAR kerana mereka sabar mengawal kekalutan penduduk yang semakin ramai, termasuk ada yang cuba merakam situasi jenayah.

Kira-kira jam 11.15 malam, pihak forensik tiba di lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan analisis lokasi jenayah. Tepat jam 12 tengah malam, jasad Zayn Rayyan dibawa keluar menggunakan pengusung dari kawasan belukar.

Apa sebenarnya yang terjadi kepada Zayn Rayyan, semuanya bergantung kepada siasatan polis."

Mohd Fakhrudin (dua dari kanan ) mengetuai operasi mencari Zayn Rayyan di Flat Idaman Damansara Damai Petaling Jaya, malam kelmarin. Foto BERNAMA
Mohd Fakhrudin (dua dari kanan ) mengetuai operasi mencari Zayn Rayyan di Flat Idaman Damansara Damai Petaling Jaya, malam kelmarin. Foto BERNAMA

Polis bersama penduduk melakukan operasi mencari Zayn Rayyan di Apartment Idaman Damansara Damai Petaling Jaya. Wartawan BH, Safeek Affendy Razali turut menyertai pencarian digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam kelmarin (Gambar kecil).
Polis bersama penduduk melakukan operasi mencari Zayn Rayyan di Apartment Idaman Damansara Damai Petaling Jaya. Wartawan BH, Safeek Affendy Razali turut menyertai pencarian digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam kelmarin (Gambar kecil).
Berita Harian X