Khamis, 7 Disember 2023 | 9:26pm
Datuk Seri Dr Ahmad Said.
Datuk Seri Dr Ahmad Said.

'Saya letak jawatan untuk beri laluan orang baharu' - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr Ahmad Said memaklumkan keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bertujuan untuk memberi laluan kepada orang baharu yang lebih muda meneraju parti.

Malah, bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau sendiri turut mencadangkan nama Datuk Rozi Mamat yang juga Setiausaha UMNO Negeri sebagai pengganti.

"Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan saya telah mencadangkan Datuk Rozi Mamat bagi menggantikan saya.

"Untuk makluman semua, keputusan yang telah saya buat ini adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang baru yang lebih muda bagi meneraju UMNO Negeri Terengganu," katanya melalui Facebook.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pelantikan Rozi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baharu berkuat-kuasa serta merta.

Selain Rozi, turut diumumkan pelantikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, juga berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga bekas ADUN Kijal merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

"Saya memohon kemaafan kepada semua yang terlibat dalam pentadbiran saya selama ini, jika ada kekasaran atau kekurangan yang telah saya lakukan sepanjang pentadbiran saya di dalam UMNO Negeri Terengganu.

"Saya berharap dengan pelantikan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan yang baharu dapat menyuntik semangat baharu dalam pentadbiran UMNO Negeri Terengganu nanti," katanya.

Berita Harian X