Khamis, 7 Disember 2023 | 7:58pm
Penerima eMADANI membeli barangan keperluan menggunakan kredit eMADANI di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Penerima eMADANI membeli barangan keperluan menggunakan kredit eMADANI di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Daftar cukai lepas 15 Julai tak layak dapat eMADANI

KUALA LUMPUR: Individu yang mendaftar cukai pendaftaran di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas 15 Julai lalu, tidak layak menerima kredit e-dompet eMADANI.

Portal Manfaat yang menyediakan jawapan bagi setiap persoalan berkaitan eMADANI, menyatakan syarat kelayakan seseorang mendapat kredit yang disediakan oleh kerajaan adalah berusia 21 tahun dan ke atas tahun ini.

Selain itu, mereka yang layak membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod sehingga 27 November lalu serta yang berpendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun, berdasarkan rekod LHDN.

Penerima juga perlu memenuhi langkah verifikasi identiti secara elektronik 'Know-Your-Customer' (eKYC) dengan penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan sebelum permohonan kredit eMADANI boleh dibuat.

"Sebarang pertikaian boleh dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan anda (MAE, ShopeePay, Setel dan Touch 'n Go eWallet) untuk bantuan.

"Bagi permohonan yang gagal akibat pengenalan diri tidak sah, anda mungkin perlu menghantar maklumat tambahan untuk verifikasi semasa proses pertikaian," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu, mengumumkan bantuan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah yang membabitkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, seramai 6.5 juta rakyat Malaysia sudah menerima kredit RM100 manakala 1.8 juta permohonan lagi dalam proses kelulusan.

Mengenai permohonan yang lambat diluluskan, individu terbabit diminta menghubungi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kelewatan yang berlaku.

"Anda mungkin perlu mengemukakan maklumat tambahan contohnya salinan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan," katanya.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI bermula dari 8 pagi 4 Disember lalu sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.

Penggunaan kredit eMADANI dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terbabit hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sehingga 29 Februari 2024.

Kredit eMADANI boleh dimanfaatkan menerusi peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terbabit dalam program itu, tertakluk kepada transaksi dibenarkan.

Kredit RM100 eMADANI boleh digunakan untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan kecuali untuk pemindahan 'peer-to-peer'; penebusan tunai; bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet dan bayaran berkaitan kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet.

Ia juga boleh digunakan bagi pembayaran bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; pembelian permainan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; bayaran tempat letak kereta dan/atau tol; aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; dan transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.

Berita Harian X