Khamis, 7 Disember 2023 | 6:47pm
Jenazah Zayn Rayyan selesai dibedah siasat dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Jenazah Zayn Rayyan selesai dibedah siasat dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Bedah siasat budak autisme Zayn Rayyan selesai

SUNGAI BULOH: Jenazah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin selesai dibedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Damansara Damai di sini untuk disembahyangkan.

Jenazah Zayn Rayyan dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) jam 5.55 petang, selepas proses bedah siasat selesai.

Kelihatan ibu bapa Zayn Rayyan turut menaiki van jenazah ke Masjid Damansara Damai, seterusnya jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ini susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu yang sepadan dengan perbuatan jenayah.

Berikutan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Berita Harian X