Khamis, 7 Disember 2023 | 5:16pm

Budak autisme, Zayn Rayyan mati dibunuh

SUNGAI BULOH: Polis kini menyiasat kematian kanak-kanak austisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matin sebagai kes bunuh selepas sebelumnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kanak-kanak berkenaan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya jam 10 malam tadi oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari.

Dia ditemukan terbaring di sungai yang terletak pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya, di Aparment Idaman, Damansara Damai, di sini.

Memaklumkan perkembangan terbaharu itu sebentar tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati wujud unsur jenayah.

"Bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa, dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Hussein berkata, belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu, mayat Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang sejak seharian ditemui di lokasi sama yang sebelumnya termasuk dalam skop pencarian dan menyelamat.

Dalam dua operasi mencari dan menyelamat (SAR), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama penduduk sudah melakukan pencarian di lokasi berkenaan pada malam kelmarin dan petang semalam.

Polis ketika itu tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat dan air naik di kawasan anak sungai dan longkang berhampiran menyebabkan mangsa tidak dapat ditemui sebelum ini.

Mayat Zayn kemudian dibawa keluar pada jam 12 tengah malam tadi dengan kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, penuh sesak dengan penduduk sekitar dan orang ramai yang membanjiri kawasan itu.

Berita Harian X