Khamis, 7 Disember 2023 | 2:40pm

'Saya masih rasa dia macam ada' - ibu Zayn Rayyan

SUNGAI BULOH: 'Sampai sekarang saya masih rasa macam dia ada, saya tak sangka akan berakhir macam ni.'

Itu kesedihan diluahkan Ismanira Abdul Manaf, 28, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui meninggal dunia malam tadi selepas dilaporkan hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kelmarin.

Ismanira berkata, walaupun beliau dan suami, Zaim Ikhwan Zahari, 28, menerima takdir yang tersurat namun tidak mudah untuk menerima hakikat bahawa anak sulong mereka sudah tiada.

"Saya nak kata, dia (Zayn Rayyan) memang dah takde tapi memang (buat masa ini) saya susah nak terima, saya tak boleh tidur malam tadi.

"Sampai sekarang pun saya masih rasa macam dia ada, saya tak sangka berakhir macam ni.. namun kami reda dengan ketentuan ini," katanya ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini.

Ahli keluarga menunggu untuk menuntut jenazah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ahli keluarga menunggu untuk menuntut jenazah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Bagi Ismanira, walaupun ada kekesalan yang terbuku dihatinya, namun beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat lanjut bagi mengetahui punca sebenar di sebalik kematian anaknya.

"Itu sahajalah, saya tak nak komen apa lagi, sebab saya emosi pun tak stabil lagi. Saya serahkan kepada pihak polis untuk langkah seterusnya dan menjalankan siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau dan suami turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, bomba, penduduk serta media dan semua pihak yang membantu pencarian Zayn Rayyan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan Zayn.

"Terima kasih juga kepada semua pihak bomba, polis, media dan penduduk yang menolong saya, terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia semua," katanya.

Dalam pada itu, Zaim Ikhwan berkata bedah siasat anaknya bermula jam 11 pagi tadi dan dijangka memakan masa hingga empat jam untuk disempurnakan dan seterusnya dikebumikan.

"Buat masa ini apa yang kita rancang sembahyang jenazah di Masjid Damansara Damai dan selepas tu kita akan kebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara," katanya.

Zayn Rayyan yang juga kanak-kanak autisme dilaporkan hilang ketika bermain di taman permainan di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, kelmarin.

Kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu dilihat kali terakhir memasuki ke kawasan belukar berhampiran kediaman berkenaan.

Ibunya, Ismanira dilaporkan berkata ada kanak-kanak lain di kawasan itu mendakwa ternampak anaknya masuk belukar yang terletak kira-kira 100 meter dari blok kediamannya.

Sebelum kejadian, Ismanira yang bekerja sebagai kerani mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Kanak-kanak itu kemudian disedari hilang ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartment berkenaan.

Selepas lebih 30 jam pencarian dijalankan termasuk oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia, mangsa ditemui seorang penduduk yang membantu dalam operasi mencari, malam tadi.

Mangsa ditemui terbaring di sungai yang terletak pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Aparmen Idaman, kira-kira jam 10 malam tadi.

Jenazah kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid dilaporkan berkata berkata bedah siasat dijadual bermula pada jam 9.30 pagi tadi.

Buat masa ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut (SDR).

Zaim Ikhwan Zahari, 28 dan isteri, Ismanira Abdul Manaf, 28, ketika ditemui media semasa menunggu bedah siasat jenazah anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Zaim Ikhwan Zahari, 28 dan isteri, Ismanira Abdul Manaf, 28, ketika ditemui media semasa menunggu bedah siasat jenazah anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X