Khamis, 7 Disember 2023 | 2:06pm
Isham Jalil berkata beliau sudah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MKT UMNO semalam. - Foto fail NSTP
Isham Jalil berkata beliau sudah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MKT UMNO semalam. - Foto fail NSTP

Surat pecat belum terima tapi sudah kena buang kumpulan WhatsApp MKT

KUALA LUMPUR: Mengesahkan belum terima surat pemecatan daripada UMNO, Isham Jalil bagaimanapun mengakui sudah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO semalam.

Ia susulan laporan media malam tadi MKT UMNO mengumumkan pemecatan Isham Jalil yang sudah menjawat Ahli MKT bagi penggal kedua.

"Saya belum dapat surat. Yang saya tahu mereka telah keluarkan saya dari WhatsApp group MKT UMNO malam semalam," katanya.

Malam tadi, media yang memetik beberapa pemimpin UMNO yang menghadiri mesyuarat MKT malam melaporkan pemecatan Isham.

Tanpa pengesahan lanjut daripada UMNO berhubung tindakan disiplin itu, namun ia dipercayai berkaitan kritikan berterusan Isham terhadap pemimpin UMNO, termasuk mengaitkan segelintir mereka sebagai 'barua DAP'.

Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO sebelum ini dipilih sebagai Ahli MKT sebaik berakhir pemilihan parti itu awal tahun ini.

Selain Isham, UMNO juga memecat beberapa pemimpinnya sebelum ini termasuk bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

UMNO juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Berita Harian X