Khamis, 7 Disember 2023 | 12:15pm

Keluarga tunggu bedah siasat selesai, jangka kebumi Zayn Rayyan sebelum Zuhur

SUNGAI BULOH: Jenazah budak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin dijangka dikebumikan sebelum Zuhur selepas proses bedah siasat selesai, hari ini.

Bagaimanapun menurut bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, 28, urusan pengebumian anaknya bergantung kepada kepada pihak hospital dan keputusan laporan bedah siasat.

"Kita masih lagi menunggu keputusan bedah siasat.

"Namun kita rancang untuk kebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara sebelum Zuhur," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), sebentar tadi.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Damansara Damai sebelum dikebumikan.

"Bagaimanapun kami belum pasti lagi sebab ia bergantung kepada pihak hospital," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata bedah siasat dijadual bermula pada jam 9.30 pagi tadi dan dijangka selesai dalam tempoh satu ke dua jam.

Sementara itu, di Jabatan Forensik HSB, kira-kira 30 ahli keluarga dan saudara mara mangsa dilihat menunggu di perkarangan Jabatan Forensik seawal jam 9 pagi tadi.

Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, Jurucakap HSB yang enggan dikenali memaklumkan waris enggan bertemu media buat masa ini selain memaklumkan status proses bedah siasat belum dapat dipastikan.

"Status terkini hanya akan dimaklumkan oleh pihak polis," katanya kepada kira-kira 15 pengamal media yang menunggu di Jabatan Forensik HSB.

Zayn Rayyan, 6, yang dilaporkan hilang tengah hari kelmarin di Damansara Damai, ditemui di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya jam 10 malam tadi.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari mangsa.

Mangsa ditemui terbaring di sungai yang terletak pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya, di Aparment Idaman, Damansara Damai di sini.

Ahli keluarga Zayn Rayyan menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Muhaamad Hafis Nawawi
Ahli keluarga Zayn Rayyan menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh. - Foto NSTP/Muhaamad Hafis Nawawi
Berita Harian X