Khamis, 7 Disember 2023 | 11:08am

Kematian budak autisme: Polis akan rakam keterangan ibu bapa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dalam menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak autisme itu selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis juga akan merakam keterangan jiran dan saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

@bharianmy Zayn Rayyan meninggal dunia: Polis rakam keterangan, saksi, keluarga, jiran #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian

Buat masa ini, beliau berkata, polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak berumur enam tahun itu sebagai mati mengejut (SDR).

"Proses bedah siasat dijadual dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB) bermula jam 9.30 pagi ini.

Suasana di sekitar pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di mana mayat Zayn Rayyan, dijadualkan menjalani proses bedah siasat. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar
Suasana di sekitar pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di mana mayat Zayn Rayyan, dijadualkan menjalani proses bedah siasat. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar

"Bagi siasatan lanjut, kita akan merakam keterangan saksi kejadian, keluarga dan jiran," katanya.

Selepas dilaporkan hilang tengah hari kelmarin di Damansara Damai, di sini, Zayn Rayyan ditemui maut dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam tadi.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.

Suasana di sekitar pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di mana mayat Zayn Rayyan, dijadualkan menjalani proses bedah siasat. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar
Suasana di sekitar pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di mana mayat Zayn Rayyan, dijadualkan menjalani proses bedah siasat. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar

Mangsa ditemui terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan dilaporkan menyedari kehilangan mangsa ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.

Berita Harian X