Khamis, 7 Disember 2023 | 12:55am

Terkini: Selepas tiga kali pencarian di lokasi sama, Zayn Rayyan akhirnya ditemui

PETALING JAYA: Mayat budak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui di lokasi sama yang sebelum ini, termasuk dalam skop pencarian dan menyelamat.

Sebelum ini, dalam dua operasi mencari dan menyelamat (SAR), pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama penduduk sudah melakukan pencarian di lokasi berkenaan pada malam kelmarin dan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat dan air naik di kawasan anak sungai dan longkang berhampiran menyebabkan mangsa tidak dapat ditemui sebelum ini.

Anggota polis bersama kumpulan penduduk ketika menjalankan operasi mencari mangsa. Gambar kecil, Adik Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Anggota polis bersama kumpulan penduduk ketika menjalankan operasi mencari mangsa. Gambar kecil, Adik Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali

"Pencarian di kawasan itu sudah dilakukan sejak malam kelmarin dan petang tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk bahawa mangsa ada di kawasan itu.

"Justeru, disebabkan kekangan faktor cuaca dan keadaan sekitar menyebabkan Zayn tidak dapat ditemui dalam pencarian sebelum ini sehinggalah mayatnya ditemui dalam keadaan mengiring dalam sungai pada jam 10 malam tadi," katanya dalam sidang media selepas mayat Zayn dibawa keluar.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebaik ditemui oleh penduduk bersama pihak polis yang menjalankan operasi SAR, pihaknya terpaksa menutup lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan awal dibuat.

"Kita kemudian memanggil Unit Forensik Polis Selangor, sebelum membawa mayat Zayn ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

"Pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sebelum sebarang keputusan diperoleh," katanya.

Mayat Zayn kemudian dibawa keluar pada jam 12 tengah malam tadi dengan kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, penuh sesak dengan penduduk sekitar dan orang ramai yang membanjiri kawasan itu.

Mayat Zayn Rayyan dibawa keluar jam 12 tengah malam tadi dengan kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, penuh sesak dengan penduduk sekitar dan orang ramai yang membanjiri kawasan itu. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Mayat Zayn Rayyan dibawa keluar jam 12 tengah malam tadi dengan kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, penuh sesak dengan penduduk sekitar dan orang ramai yang membanjiri kawasan itu. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Berita Harian X