Rabu, 6 Disember 2023 | 8:03pm
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, bercakap kepada media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya, hari ini. - FotoBERNAMA
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, bercakap kepada media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya, hari ini. - FotoBERNAMA

'Itu klip video lama, saya belum jadi menteri'

PUTRAJAYA: Semakan terhadap klip video tular membabitkan seorang individu yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara Malaysia dan Israel mendapati ia berlaku pada Disember 2021 tetapi ditimbulkan semula di media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

"Semakan menunjukkan ia (video) daripada YouTube 'Malaysia And Israel - From Enemies To Allies?'.

"Berdasarkan carian dalam YouTube, video itu adalah pada 17 Disember 2021, bukan 2023. Dua tahun yang lalu, waktu itu saya bukan menteri," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, hari ini.

Fahmi berkata, persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap video tular itu seharusnya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu.

Satu video tular di media sosial berhubung seorang individu dikenali sebagai 'Victor Yong Jen Ong' yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara Malaysia dan Israel dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan.

Fahmi juga menasihatkan orang ramai menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu video sama ada baharu atau telah ditular sebelum ini.

Ditanya mengenai kebimbangan netizen berkenaan maklumat pengguna yang menebus RM100 eMADANI tidak dilindungi, Fahmi memberi jaminan data peribadi rakyat termasuk yang menebus kredit eMADANI adalah selamat dan tidak disalah guna oleh mana-mana pihak kerana ia adalah komitmen kerajaan.

Penebusan kredit eMADANI bermula 4 Disember lalu adalah inisiatif kerajaan untuk penerima yang layak dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000 dan dianggar memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta rakyat Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X