Rabu, 6 Disember 2023 | 7:26pm
Keadaan lorong motosikal CIQ yang sesak selepas MBIKE turut terjejas akibat ketiadaan bekalan elektrik sejak malam tadi hingga pagi tadi. - Foto IHSAN PEMBACA
Keadaan lorong motosikal CIQ yang sesak selepas MBIKE turut terjejas akibat ketiadaan bekalan elektrik sejak malam tadi hingga pagi tadi. - Foto IHSAN PEMBACA

Gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan elektrik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Johor Bahru Sentral seperti dilaporkan, pulih sepenuhnya jam 9.13 pagi tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan petang ini, turut mengambil maklum cadangan kerajaan Johor supaya mempertimbang sumber alternatif bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik ke kompleks CIQ seperti disuarakan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohammad Salleh.

"TNB juga bekerjasama rapat dengan pengurusan BSI bagi memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan ke kompleks berkenaan dan persekitarannya," katanya.

Kenyataan itu menyebut, TNB melaksanakan kerja-kerja henti tugas bernotis bagi senggaraan berjadual pepasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gerbang Perdana 33/11kV, Johor Bahru bermula jam 8 malam tadi sehingga awal pagi ini.

"Ketika kerja-kerja dilaksanakan, bekalan elektrik sementara disalur melalui 10 genset milik Bangunan Sultan Iskandar supaya tiada gangguan bekalan dalam tempoh terbabit," katanya.

Bagaimanapun, TNB menyatakan, siasatan mendapati berlaku kerosakan berulang pada satu daripada genset berkenaan yang digunakan untuk memberi bekalan sementara dan mengakibatkan gangguan bekalan di premis bangunan CIQ.

Pagi tadi, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan gangguan elektrik selama 12 jam itu mengecewakan dan amat menyusahkan pengguna.

BH pagi tadi melaporkan, gangguan bekalan di bangunan keselamatan sempadan antara Johor dan Singapura itu dipercayai berlarutan hingga jam 10 pagi tadi sebelum keadaan kembali pulih.

Berita Harian X