Rabu, 6 Disember 2023 | 5:53pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap di Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap di Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KPM perkenalkan 7 teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, yang disifatkan mampu untuk melahirkan insan sejahtera dan mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tujuh domain itu ialah perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Katanya, domain ini juga mengambil kira semua elemen merentas kurikulum dan enam tunjang dalam kerangka Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

"Fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan dengan setiap tahap bermula daripada tahap prasekolah sehinggalah ke tahap pendidikan menengah atas yang membabitkan murid tingkatan empat dan tingkatan lima.

"Kurikulum prasekolah akan dibangunkan dengan memberi fokus untuk melahirkan murid yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin serta memiliki sifat kasih sayang, berdaya tahan, mampu menyelesaikan masalah serta berkeinginan untuk belajar.

"Sebagai persediaan awal, murid akan terus diberikan ruang untuk pembelajaran dalam medium Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris," katanya pada Program Bual Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan.

Fadhlina berkata, bagi memudahkan guru memberi fokus pembelajaran sejajar dengan kematangan usia murid, pendidikan rendah pula akan dibahagikan kepada tiga tahap.

Katanya, pendidikan rendah Tahap I akan membabitkan kumpulan murid Tahun 1 dan Tahun 2 iaitu yang memfokuskan penguasaan literasi dan numerasi serta pembangunan karakter.

"Pendidikan rendah Tahap II pula membabitkan kumpulan murid Tahun 3 dan Tahun 4 yang mana penguasaan kemahiran mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah serta pembangunan karakter menjadi fokus utama.

"Murid di tahap ini berpeluang untuk mempelajari dan meneroka elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Kemahiran Hidup, Teknologi dan Digital lebih awal.

"Manakala pendidikan rendah Tahap III pula akan membabitkan kumpulan murid Tahun 5 dan Tahun 6 yang akan memfokus kepada penguasaan kemahiran menganalisis serta menghasilkan inovasi sebagai persediaan ke sekolah menengah," katanya.

Jelasnya lagi, pendidikan Menengah Rendah membabitkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 pula akan diberi peluang meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong mengenali minat dan potensi diri termasuk perkembangan bakat dan pembentukan karakter.

"Pendidikan Menengah Atas membabitkan murid Tingkatan 4 dan 5 yang akan disediakan dengan laluan bidang ingin diceburi ke peringkat pengajian tinggi dan dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat selain diperkenalkan dengan pengalaman bekerja melalui perantisan

"Setiap tahap turut ditekankan pembentukan karakter di mana ia akan dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosio-emosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas," katanya.

Fadhlina berkata, kerangka dihasilkan itu juga hasil tinjauan secara dalam talian terhadap seramai 61,084 orang responden iaitu 45 peratus adalah ibu bapa atau penjaga, 46.8 peratus adalah dalam kalangan pendidik dan 65 peratus responden adalah mereka yang berada di bandar manakala 35 peratus di luar bandar.

"Hasil daripada tinjauan itu juga, responden menyatakan harapan agar kurikulum perlu berupaya memupuk semangat perpaduan, nilai-nilai murni, menyokong perkembangan sosial dan emosi serta mengambil kira keperluan kepelbagaian murid.

"Dapatan tinjauan juga menunjukkan terdapat keperluan untuk menambahkan unsur-unsur yang relevan untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan.

Berita Harian X