Rabu, 6 Disember 2023 | 5:33pm
Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru akibat hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi. - Foto ihsan APM
Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru akibat hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi. - Foto ihsan APM

Banjir kilat landa bandar raya Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Kira-kira 25 lokasi sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat apabila hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi.

Menerusi hantaran Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengambil langkah segera menempatkan Skuad Kilat MBJB di lokasi dilaporkan banjir kilat bagi melaksanakan tindakan lanjut.

"Skuad kilat MBJB kini berada di lokasi sekitar bandar raya untuk memantau dan memastikan laluan-laluan air berfungsi dengan baik, serta kawalan di lokasi berisiko.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan memandu berhati-hati susulan hujan lebat yang berlaku dan air laut yang mulai pasang," katanya.

MBJB melaporkan sehingga jam 3.40 petang tadi, sebanyak 25 lokasi dikesan, namun sebahagiannya sudah kembali surut.

Katanya, beberapa laluan terpaksa ditutup bagi mengelakkan kenderaan terperangkap termasuk persimpangan Jalan Gertak Merah menghala ke Wisma Persekutuan dan sebahagian Jalan Kolam Ayer menghala ke pusat bandar dan Nong Chik Heights.

"Di Jalan Ayer Molek terdapat kenderaan yang terperangkap dan penguat kuasa MBJB bertindak memberi bantuan pengalihan kenderaan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan turut memaklumkan pihaknya ditugaskan membuat pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir ketika hujan lebat berlaku.

Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau digerakkan ke lokasi dikesan pada jam 2.37 petang.

"Lokasi yang dipantau adalah Taman Bunga Ros, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Tengah Tebrau di daerah ini.

"Ketika pemantauan dilakukan, didapati paras air sungai dalam keadaan berjaga-jaga dan hujan ketika itu lebat.

"Di beberapa kawasan itu air naik sehingga 0.3 meter," katanya.

Berita Harian X