Rabu, 6 Disember 2023 | 5:27pm

Bezza dikejar 28 kereta peronda polis: Suspek ketiga diburu

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai menaiki Perodua Bezza yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara di sini menghala ke Cyberjaya sehingga dikejar 28 kereta peronda polis (MPV), awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan setakat ini, dua suspek lain membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun dan wanita berumur 21 tahun yang menaiki kenderaan itu, berjaya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat hubungan antara kedua-dua suspek yang ditahan itu dengan suspek ketiga, sama ada rakan jenayah atau sebaliknya.

"Hasil siasatan kami turut mendapati suspek lelaki yang berumur 27 tahun itu disahkan positif ganja, dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dirempuh ketika cuba menahan mereka di Jalan PJS6/1 Sungei Way, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.

"Anggota polis berkenaan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan telah keluar pada hari sama," katanya.

Semalam, media melaporkan pemandu Perodua Bezza yang melarikan diri sebelum dikejar 28 MPV sejauh kira-kira 50 kilometer (km), memiliki 11 rekod lampau.

Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah, empat lagi berkait kesalahan dadah, dan satu rekod masih dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata, manakala wanita terbabit tiada rekod jenayah lampau.

Polis juga menemui sebilah pisau, sepasang gunting, sepasang sarung tangan, sebuah topi keledar, sekeping kad pengenalan individu lain dan empat kad debit di dalam kereta ketika membuat pemeriksaan lanjut selepas kenderaan itu berjaya ditahan di di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya. – BERNAMA

Berita Harian X