Rabu, 6 Disember 2023 | 5:19pm
Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr A Aziz Azizam (kiri) dan Penganalisis politik yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr A Aziz Azizam (kiri) dan Penganalisis politik yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Kehadiran Ahmad Samsuri mungkin alih imbangan kuasa PN - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, baru-baru ini dilihat berkemungkinan memberi tekanan kepada kepemimpinan BERSATU dan tidak mustahil mengalihkan imbangan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN).

Kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempunyai pengalaman dan ciri pemimpin juga dilihat memberi kelebihan besar kepada parti itu di blok pembangkang.

Penganalisis politik yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Ahmad Samsuri dilihat mempunyai kemampuan dan ciri untuk menggugat kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, khususnya apabila beliau kini sebagai seorang Ahli Parlimen.

"Kemenangan Ahmad Samsuri dalam PRK Kemaman baru-baru ini sewajarnya memberikan peranan baharu dalam politik di peringkat nasional.

"Kekuatan PN juga banyak disumbangkan oleh PAS dan wakil PAS layak diangkat sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

"Kemenangan Ahmad Samsuri mampu menggugat kedudukan Hamzah. Ini kerana beliau mempunyai kelebihan. Beliau kini Ahli Parlimen, ada pengalaman sebagai Menteri Besar, Naib Presiden PAS. Malah, PAS juga sudah tentu hendak menonjolkan Ahmad Samsuri," katanya kepada BH, hari ini.

Ahmad Samsuri menang pada PRK Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi iaitu dengan majoriti 37,220 undi. Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778.

Beliau pernah disebut-sebut sebagai bakal calon Perdana Menteri daripada PN apabila dicalonkan dalam PRK Parlimen.

Beberapa pimpinan politik termasuk dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu berkelayakan memegang jawatan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Izani turut berpandangan Ahmad Samsuri mempunyai watak dan ciri pemimpin yang sederhana dan boleh diangkat sebagai ketua pembangkang.

"Ditambah lagi PAS mempunyai kerusi terbanyak dalam Parlimen dan sepatutnya dari awal lagi wakil PAS dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat," katanya.

Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr A Aziz Azizam, pula berkata walaupun kehadiran Ahmad Samsuri dilihat mampu menggugat, Hamzah perlu lebih fokus untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam BERSATU.

"Saya percaya Hamzah perlu lebih fokus untuk mendisiplinkan Ahli Parlimen dari partinya, memandangkan ada ahli yang sudah bertukar sokongan," katanya.

Katanya, Ahmad Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam sebenarnya dilihat mampu memberikan lebih sinergi dalam memainkan peranan PN sebagai pembangkang yang berkualiti.

"Kemenangan calon PAS dalam PRK Kemaman, baru-baru ini harus diraikan oleh semua pimpinan PN.

"Kehadiran Dr Sam adalah untuk menguatkan PN dan bukan untuk menimbulkan permusuhan dalam PN. Dengan kehadirannya, saya yakin ia akan memberikan lebih sinergi kepada pembangkang untuk menyampaikan suara dan perbahasan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat," katanya.

Berita Harian X