Rabu, 6 Disember 2023 | 4:25pm

Belum ada petunjuk keberadaan Zayn Rayyan - Polis

PETALING JAYA: Polis belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, walaupun sudah lebih 24 jam dilaporkan hilang di Damansara Damai, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kanak-kanak berumur enam tahun itu masih belum ditemui, setakat jam 3 petang tadi.

Beliau berkata, operasi mencari dengan kerjasama pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat dijalankan di semua blok apartmen yang didiami keluarga mangsa serta kawasan berhampiran, namun hingga kini belum ada petunjuk keberadaan kanak-kanak itu.

"Kita juga sudah merakam keterangan ibu bapa mangsa.

"Pencarian masih diteruskan tetapi setakat ini, belum ada sebarang petunjuk berkaitan keberadaan kanak-kanak itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.36 petang semalam.

Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat berada di kawasan perumahan di Apartment Idaman dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, pula dilaporkan berkata naluri hatinya kuat merasakan yang anaknya itu tidak pergi jauh dan masih berada di kawasan sekitar.

Berita Harian X