Rabu, 6 Disember 2023 | 2:42pm
Orang ramai melakukan pendaftaran dan tuntutan kredit eMadani yang dibuka mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024
Orang ramai melakukan pendaftaran dan tuntutan kredit eMadani yang dibuka mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024

Seramai 6.5 juta sudah terima kredit RM100 eMADANI - Ahmad Maslan

PUTRAJAYA: Seramai 6.5 juta orang berjaya mendapat kredit e-tunai eMADANI dengan jumlah RM650 juta setakat 9 pagi hari ini, demikian kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran yang masih dalam proses adalah sebanyak 1.8 juta permohonan dan seperti yang dimaklumkan prosesnya mengambil masa satu hingga lima hari.

Katanya, bagi mereka yang layak mengalami masalah dan tidak dapat boleh membuat rayuan dengan menghubungi talian hotline 03-88824565/03-88824566/1800882747 atau emel ke [email protected].

"Sehingga 9 pagi Rabu 6 Disember (2023), jumlah pendaftaran yang diluluskan untuk eMADANI. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada 6.5 juta orang yang telah berjaya mendapat eMADANI.

"Nilai dana yang telah diagihkan sebanyak RM650 juta daripada RM1 bilion yang kita peruntukkan," katanya ketika ditemui di Program Walkabout eMADANI bersama Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI bermula dari 8 pagi pada 4 Disember 2023 sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.

Sementara penggunaan kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terbabit hanya boleh dibelanjakan secara fizikal saja sehingga 29 Februari 2024.

Kredit eMADANI juga boleh dimanfaatkan menerusi peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terbabit dalam program itu, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet mengambil bahagian dalam program itu.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terbabit turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran sepanjang tempoh program itu.

Berita Harian X