Rabu, 6 Disember 2023 | 2:37pm
Ahli MKT UMNO, Isham Jalil (kiri) diharap mempunyai keberanian untuk menghadiri mesyuarat parti itu malam ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli MKT UMNO, Isham Jalil (kiri) diharap mempunyai keberanian untuk menghadiri mesyuarat parti itu malam ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

'Isham Jalil kalau berani, hadir mesyuarat MKT malam ini!' - Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, diharap mempunyai keberanian untuk menghadiri mesyuarat parti itu malam ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berharap Isham dapat hadir Mesyuarat MKT di Bangunan UMNO malam ini, selepas sudah tiga kali tidak menghadirinya.

"Kalau (Isham) ada pendapat yang lain beliau boleh suarakan (pada Mesyuarat MKT). Setakat ini beliau sudah tiga kali tidak datang mesyuarat MKT.

"Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini untuk menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Isham yang sebelum menyifatkan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berpunca daripada pemimpin UMNO yang terlalu mempertahankan DAP.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid menyifatkan pemimpin PAS sebagai 'gila talak' apabila menyuarakan hasrat untuk kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi platform Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau menggesa PAS berhenti bermimpi di siang hari, selain menasihati parti Islam itu berdoa supaya berhenti 'menipu' UMNO sekali lagi.

"Setakat ini tiada khabar angin sampai kepada UMNO, mungkin ada pihak telah kegilaan talak sebab mereka pernah ada dalam kerajaan dahulu. Alangkah sakitnya apabila ada jumlah kerusi yang banyak tetapi berada di pihak pembangkang.

"Jadi saya berharap mereka terus berdoa untuk tidak melakukan 'kekencingan' (menipu) sekali lagi kepada UMNO, menyebabkan UMNO tidak langsung membuka jalan itu (jalin kerjasama semula) setakat ini.

"Setakat ini Allah tak buka lagi hati untuk melakukan kerjasama dengan mereka. Kami minta mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak menolak kemungkinan bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah 'pahit' kedua-dua parti itu, sebelum ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dipetik berkata, sebarang kerjasama dengan UMNO perlu melalui platform PN yang turut dianggotai BERSATU, selain menjelaskan PAS tidak pernah mengetepikan agenda penyatuan ummah.

Berita Harian X