Rabu, 6 Disember 2023 | 11:17am
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz

'Tiada bukti lonjakan penyakit pernafasan memerlukan kebimbangan global'

KUALA LUMPUR: Tiada bukti kemunculan patogen luar biasa yang mengakibatkan lonjakan penyakit berkaitan pernafasan hingga menuntut kebimbangan dan tindakan global termasuk di Malaysia.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz, berkata lonjakan kes penyakit berkaitan pernafasan yang dialami banyak negara ketika ini, berlaku selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan dan situasi ini turut berlaku di China.

Katanya, lonjakan kes di China adalah berkaitan jangkitan bakteria biasa, yang kebiasaannya memberi kesan kepada kelompok yang lebih muda seperti kanak-kanak.

"Perlu diingatkan bahawa lonjakan kes penyakit pernafasan dilihat di banyak negara adalah selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan dan ini turut dijangka berlaku di China. China menarik balik sekatan ketat COVID-19 pada Disember tahun lalu.

"Pakar percaya lonjakan kes penyakit pernafasan di China dikaitkan dengan pemansuhan sekatan serta patogen yang beredar seperti rhinovirus, adenovirus, influenza, respiratory syncytial virus (RSV) dan mycoplasma pneumoniae. Ia adalah jangkitan bakteria biasa yang biasa memberi kesan kepada kanak-kanak yang lebih muda

"Pihak berkuasa kesihatan juga tidak mengesan sebarang patogen novel yang luar biasa. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam laporannya menyatakan doktor dan penyelidik kesihatan awam juga mengatakan, tiada bukti untuk kebimbangan antarabangsa pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Azizan berkata, MMA juga percaya Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sedang memerhati perkembangan serta menjalankan pengawasan berhubung peningkatan penyakit pernafasan itu.

"China juga sedang meningkatkan langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu di lintasan sempadan serta pemeriksaan di sekolah dan rumah jagaan, mulai akhir November lalu," katanya.

Beberapa hari lalu, pakar kesihatan di Paris menasihatkan orang ramai supaya tidak mencetuskan 'panik pandemik' susulan peningkatan kes penyakit pernafasan di utara China khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perkembangan itu secara langsung mencetuskan spekulasi dalam talian mengenai ancaman pandemik baharu, empat tahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di Wuhan, China.

Pihak berkuasa China mengatakan peningkatan kes radang paru-paru misteri disebabkan berakhirnya sekatan COVID-19, ketibaan musim sejuk dan peredaran patogen yang diketahui termasuk influenza, `mycoplasma pneumonia', `respiratory syncytial virus' (RSV) dan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

Menurut pakar, terma sindrom 'white lung' ini merangkumi penyakit salur pernafasan seperti `Acute Respiratory Distress Syndrome' (ARDS) yang disebabkan bakteria dalam darah, radang paru-paru dan juga trauma, selain terdapat garam calcium di dalamparu-paru boleh menyebabkan batuk, sukar bernafasa dan sakit dada berpunca daripada `pulmonary alveolar microlithiasis' (PAM).

Berita Harian X