Selasa, 5 Disember 2023 | 11:55pm
Azman bercakap pada sidang media mengenai pencapaian Malaysia dalam PISA 2022, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Azman bercakap pada sidang media mengenai pencapaian Malaysia dalam PISA 2022, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Murid Malaysia lapor persepsi positif pengalaman pembelajaran di rumah ketika pandemik COVID-19

PUTRAJAYA: Murid Malaysia memberikan maklum balas positif dalam soal selidik dijalankan bersama Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, berhubung pengalaman mereka dalam menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah ketika pandemik COVID-19.

Malah, peratusan murid Malaysia yang melaporkan persepsi positif mengenai pengalaman pembelajaran di rumah dalam tempoh itu, adalah lebih tinggi berbanding pelajar negara Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan yang menanggung tugas Ketua Pengarah Pendidikan, berkata 72.9 peratus murid Malaysia 'sangat setuju' dan 'setuju' bahawa kemahiran menggunakan peranti digital untuk tujuan pembelajaran telah meningkat, lebih tinggi berbanding 63.0 peratus murid negara OECD.

Selain itu, 67.8 peratus murid Malaysia 'sangat setuju' dan 'setuju' bahawa mereka sentiasa dapat menghubungi guru masing-masing apabila memerlukan bantuan (OECD: 67.0 peratus).

"Seterusnya, 66.4 peratus murid Malaysia 'sangat setuju' dan 'setuju' bahawa guru bersedia sebaiknya untuk memberikan pengajaran dari jarak jauh (OECD: 50.7 peratus).

"Sebanyak 58.4 peratus murid Malaysia 'sangat setuju' dan 'setuju' bahawa mereka bermotivasi untuk belajar di rumah (OECD: 38.5 peratus).

"Sebanyak 76.3 peratus peratus murid Malaysia pula 'sangat setuju' dan 'setuju' bahawa mereka merindui aktiviti sukan dan aktiviti fizikal lain yang dianjurkan sekolah, ketika sekolah ditutup (OECD: 57.0)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pencapaian Malaysia dalam PISA 2022, di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin.

Hasil soal selidik mengenai PdP dalam tempoh pandemik COVID-19 itu juga mendapati peratus murid Malaysia yang menghadapi cabaran dalam pembelajaran jarak jauh ketika sekolah ditutup, adalah tinggi.

Ia menunjukkan sebanyak 44.1 peratus murid Malaysia tidak pernah mengalami masalah mendapatkan peranti apabila memerlukannya (OECD: 47.1 peratus); 36.5 peratus murid tidak pernah menghadapi masalah mencari tempat yang senyap untuk belajar (OECD: 51.8 peratus); 26.2 peratus murid tidak pernah menghadapi masalah mencari individu yang boleh membantu menyelesaikan tugasan sekolah (OECD: 44.1 peratus); 19.6 peratus murid tidak pernah mengalami masalah mengakses Internet (OECD: 33.1 peratus); dan 16.9 peratus murid tidak pernah berdepan masalah memahami tugasan sekolah (23.5 peratus).

Bagaimanapun, murid melaporkan usaha sekolah dalam menyokong pembelajaran dan kesejahteraan mereka ketika PdP dalam tempoh pandemik COVID-19, adalah tinggi.

Hasil soal selidik murid menunjukkan hanya 18.8 peratus melaporkan bahawa pihak sekolah tidak pernah bertanya khabar murid (OECD: 38.2 peratus); 16.2 peratus melaporkan pihak sekolah tidak pernah memberi panduan yang berguna mengenai kaedah mengulang kaji sendiri (OECD: 27.3 peratus); dan cuma 12.0 peratus melaporkan pihak sekolah tidak pernah bertanya murid untuk memastikan mereka sedang menyiapkan tugasan sekolah (OECD: 20.6 peratus).

Azman berkata, keyakinan murid untuk belajar secara terarah kendiri juga mencatat lebih 50 peratus, manakala 62 peratus murid Malaysia melaporkan sekolah mereka ditutup lebih tiga bulan disebabkan pandemik COVID-19.

Purata bilangan bulan sekolah ditutup di Malaysia berdasarkan soal selidik terhadap murid ialah 5.80 bulan atau 174 hari, manakala OECD pula 4.40 bulan (132 hari).

Berita Harian X