Selasa, 5 Disember 2023 | 9:51pm
Penerima kredit e-dompet, eMADANI sebanyak RM100 membuat bayaran menggunakan kod tanpa sentuh (QRPAY) di kedai yang menerima pembayaran tanpa tunai ketika tinjauan hari ini. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan kredit e-MADANI yang dilaksanakan secara sekali bayar itu dibuka bagi pendaftaran dan tuntutan mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024. - Foto BERNAMA
Penerima kredit e-dompet, eMADANI sebanyak RM100 membuat bayaran menggunakan kod tanpa sentuh (QRPAY) di kedai yang menerima pembayaran tanpa tunai ketika tinjauan hari ini. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan kredit e-MADANI yang dilaksanakan secara sekali bayar itu dibuka bagi pendaftaran dan tuntutan mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024. - Foto BERNAMA

Rakyat manfaat pemberian RM100 eMADANI, beli barang keperluan

KUALA LUMPUR: Rata-rata rakyat yang permohonan mereka mendapatkan e-tunai RM100 menerusi eMADANI diluluskan, melahirkan rasa syukur dan lega, sekali gus mula memanfaatkan bantuan berkenaan untuk pelbagai tujuan.

Dengan tujuh juta permohonan diterima dalam tempoh sehari ketika ia mula dibuka semalam, mereka yang layak boleh menebus eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.

Di PERLIS, seorang pekerja kedai makan di Kangar, Nur Fatin Syamimi Hasmadi, 21, berkata beliau menyemak status permohonannya itu pada pukul 8 pagi tadi dan mendapati telah menerima RM100.

"Saya rasa seronok dan teruja bila tengok duit dah masuk RM100 ini. Semasa mohon ini, sejak awal lagi saya memang rancang nak guna untuk membeli makanan kalau dapat. Bila periksa hari ini, Alhamdulillah," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Di SELANGOR, bagi peniaga ayam goreng di Tapak Penjaja Seksyen 7, Shah Alam, Juhaizie Juhar, 32, pemberian e-tunai tersebut, turut memberi kesan langsung kepada peniaga kecil sepertinya kerana sudah tentu penerima akan berbelanja.

Juhaizie yang telah berniaga selama lapan tahun di situ berkata beliau sendiri sudah menebusnya dan digunakan untuk mengisi petrol kenderaannya.

Pekerja swasta, Afiq Razali, berkata kejayaan dalam pelaksanaan program eMADANI yang menyalurkan e-tunai RM100 kepada rakyat layak melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna, wajar diperluas untuk program bantuan kewangan kerajaan yang lain.

"Syarikat-syarikat e-tunai ini juga secara tidak langsung lebih kompetitif dalam memberikan tawaran untuk menarik orang ramai menggunakan aplikasi mereka dan ini juga menjadi kelebihan kepada pengguna untuk memilih mana-mana aplikasi," katanya.

Di TERENGGANU, seorang pekerja sebuah pasar raya di Kuala Nerus, Mahani Muda, 25, berkata orang ramai mula menggunakan e-MADANI untuk membuat pembayaran hari ini, dengan kebanyakan pelanggan membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur, minyak dan gula.

Peniaga kedai makan Azizah Awang, 48, pula berkata kerajaan perlu memperluaskan penggunaan e-MADANI ke kedai makan kecil, bagi menjana ekonomi peniaga kecil, kerana mereka antara golongan paling terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan harga barangan yang semakin naik.

Di MELAKA, Penolong Pengurus Restoran Serambi Emak, Alif Anaqi Ahmad Zaim, 19, berkata penggunaan pembayaran dalam talian menggunakan QR Code amat meluas ketika ini, di mana lebih 50 peratus pelanggan kedai makan itu menggunakan perkhidmatan terbabit, ketika membuat bayaran.

Beliau berkata inisiatif kerajaan memberi bantuan menerusi pindahan kredit ke dalam e-dompet, dijangka membantu peniaga mendapatkan lebih ramai pelanggan yang menggunakan kaedah sama, ketika membuat pembayaran.

- BERNAMA

Berita Harian X