Selasa, 5 Disember 2023 | 5:41pm
Lima sekolah rendah di Kuala Lumpur dibenarkan melaksanakan DLP sepenuhnya tahun depan. - Foto BH
Lima sekolah rendah di Kuala Lumpur dibenarkan melaksanakan DLP sepenuhnya tahun depan. - Foto BH

DLP sepenuhnya di lima sekolah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Bahasa Inggeris akan digunakan sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik membabitkan murid Tahun Satu di lima sekolah rendah, di sini.

Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pelaksanaan sepenuhnya Program Dwibahasa (DLP) di lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas (1), SK Bukit Damansara, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, SJKT Segambut dan SJKT Ladang Edinburgh.

Akhbar The New Straits Times mendapat maklumat itu menerusi dokumen dikeluarkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan guru besar sekolah berkaitan kelulusan untuk melaksanakan DLP sepenuhnya.

Surat bertarikh 1 Disember itu ditandatangani Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Roslan Abu Hassan.

Roslan dalam surat itu memaklumkan, pelaksanaan penuh DLP hanya membabitkan pelajar Tahun Satu bagi penggal 2023/2024 di sekolah berkenaan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan turut mengarahkan sekolah supaya memaklumkan keputusan itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa atau penjaga murid.

Pada 19 November lalu, NST dalam laporannya memaklumkan, pelajar Tahun Satu di empat sekolah yang melaksanakan DLP berdepan kekusutan, susulan arahan supaya menukar bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

Susulan laporan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kementerian itu tidak mempunyai masalah membabitkan sekolah yang melaksanakan DLP sepenuhnya.

"Garis panduan itu kekal seperti sedia ada. Bagi sekolah yang telah melaksanakan DLP sepenuhnya tahun ini,boleh meneruskannya. Tidak ada masalah.

"Kita akan mulakan dengan satu kelas bukan DLP (bagi pelajar Tahun Satu) mulai tahun depan," katanya di Dewan Rakyat pada 27 November lalu.

Berita Harian X