Selasa, 5 Disember 2023 | 1:27pm
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) Abdul Wahad Abdul Kader Jilani pada sidang media 17 November lalu. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) Abdul Wahad Abdul Kader Jilani pada sidang media 17 November lalu. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Kes Agus-Wahab: Polis temui petunjuk baharu

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu akan dirujuk semula selepas polis menemui petunjuk baharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata ia susulan dakwaan pembantu pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang mendakwa diganggu secara seksual di Bintulu, Sarawak.

"Kertas siasatan dirujuk semula selepas tindakan diambil berdasarkan laporan teknikal daripada agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi.

"Hala tuju siasatan adalah sama iaitu mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak walaupun terdapat kertas siasatan lain di Bintulu," katanya kepada BH.

Razarudin berkata, kertas siasatan berhubung situasi di Bintulu, dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tempat awam.

Beliau berkata sebarang tindakan susulan terhadap dakwaan Abdul Wahab akan diputuskan selepas pihak polis melengkapkan siasatan.

"Pada peringkat ini polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti yang material kepada keterangan dan dakwaan yang dibuat.

"PDRM akan memanggil sesiapa sahaja untuk membantu siasatan dan hala tuju siasatan adalah sama iaitu mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak," katanya.

Abdul Wahab, dalam keterangan dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Khamis lalu mendedahkan mengenai gangguan seksual di Bintulu.

Sebelum ini, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang media khas pada 17 Oktober lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.

Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Mohammad Agus, kemudian berkata identiti 'Mr H' telah didedah kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di IPD Kajang.

Berita Harian X