Selasa, 5 Disember 2023 | 1:10pm

PM mahu kajian SSPA babit kenaikan gaji drastik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan ketika ini dapat memberi maklum balas positif membabitkan kenaikan gaji yang drastik.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berkata, penyelarasan gaji penjawat awam itu perlu dibuat selari maksud slogan anjakan paradigma yang sering dilaungkan.

"Anjakan ini perlu... fahaman mengenai anjakan ini tidak sangat mendalam. Anjakan paradigma ini bukannya kita buat pindaan sikit-sikit, tidak. Bila kata anjakan, ia membabitkan perubahan agak drastik, seperti pelarasan gaji harus ada anjakan.

"Bukan perubahan sikit-sikit seperti elaun tambahan, tidak tetapi mesti melihat keperluan negara dalam pelarasan gaji ketika ini, ketimbang (berbanding) 20 tahun lalu.

"Keutamaannya adalah untuk mengangkat, sementara bidang profesion lain termasuk perkhidmatan awam yang sangat diperlukan, tetapi penekanan terhadap golongan teknikal sangat mendesak," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan penyelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan, selain meminta badan profesional dalam profesion berkenaan mengemukakan input munasabah.

"Bentuk pemikiran lama perlu dielakkan. Kalau dulu profesion teknikal, termasuk kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya itu merasakan mungkin ada alasannya, terutama profesyen teknikal, mungkin ada tempang sedikit.

"Saya beri jaminan, insya-Allah dalam kajian semula yang mungkin mengambil masa agak panjang dan badan profesional yang diwakili hari ini, perlu beri input mencukupi. Janganlah minta melebih-lebih pula... yang munasabah tetapi tentunya perlu kita beri perhatian," kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi gesaan supaya syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempertingkatkan kerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyaluran kepakaran dan kemahiran seiring keperluan industri.

Beliau juga mengarahkan Khazanah Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Bhd antaranya untuk membabitkan diri secara langsung dalam latihan TVET.

"Melalui ini, TM tahu jenis latihan yang perlu diberikan, selain bantu uruskan dan beritahu keperluan mesin untuk latih murid (di institusi TVET)," katanya sambil menambah setakat ini, sebanyak 64 syarikat swasta dan GLC sudah bekerjasama dengan institusi TVET.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengakui bangga dengan prestasi Jemaah Menteri yang mengutamakan proses tender secara telus dalam apa-apa keputusan dan projek yang dirancang untuk dilaksanakan.

Penegasan itu dibuat selepas Anwar menyifatkan kebanyakan nilai dalam masyarakat ketika ini sudah rosak dan runtuh, menyebabkan masyarakat terperangkap dengan pemikiran lapuk dan jumud, selain ia merendahkan martabat manusia serta akal budi.

"(Prestasi) negara tak boleh terangkat kalau (masih dengan) sikap lama, jadi pemimpin mesti kaya, jadi Perdana Menteri mesti beri projek kepada anak menantu. Kalau tiada ketegasan membawa perubahan, ia tidak ada anjakan, tiada 'reform'.

"Penekanan ini tidak mudah sebab puluhan tahun kita dengan cara lama. Ada kata pada saya buat apa jadi Perdana Menteri kalau tak ambil duit, bodohlah kerana bagi dia cerdik itu maknanya kaya. Bila amalan rasuah dan salah guna kuasa dah sistemik, ia akan mengambil waktu untuk diselamatkan.

"Kita tekankan begitu kerana masih ada penyeludupan dadah dan masih kutipan untuk mendapatkan lesen di Pelabuhan Klang, Selangor. Ia masih ada, saya tidak nafikan.

"Tetapi percayalah, Allah beri kekuatan pada saya. Melalui kekuatan dan kestabilan politik yang ada, saya insya-Allah akan terus memerangi salah guna kuasa, tak kira sama ada Tun, Tan Sri dan Datuk. Saya akan bekerja sebaik mungkin dengan sokongan saudara sekalian," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima syiling emas sempena 150 Tahun JKR daripada Penolong Gabenor Bank Negara, Abd Rahman Abu Bakar di Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima syiling emas sempena 150 Tahun JKR daripada Penolong Gabenor Bank Negara, Abd Rahman Abu Bakar di Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X